Datuk Bandar Manchester dan Liverpool bersepakat menggesa venue perlawanan separuh akhir Piala FA di antara Manchester City dan Liverpool di Stadium Wembley bulan depan agar diubah.

Skuad kendalian Pep Guardiola dan Jurgen Klopp itu akan bertembung pada hujung minggu, 16 April depan, bagi merebut tempat ke final kejohanan bola sepak kalah mati tertua berkenaan.

Namun, kedua-dua penyokong pasukan mendesak agar perlawanan itu dipindahkan ke lokasi alternatif disebabkan isu logistik.

Datuk Bandar Greater Manchester, Andy Burnham, dan Datuk Bandar Metro Liverpool, Steve Rotheram, telah mengeluarkan satu kenyataan bersama yang menyeru FA supaya memenuhi permintaan sedemikian.

"Sepanjang tahun lalu, slogan 'bola sepak tanpa peminat tiada makna' semakin berkumandang," menurut kenyataan itu.

"Sekiranya keputusan ini dibiarkan dan orang ramai sama ada tersisih daripada sukan ini atau tidak dapat hadir atas sebab lain, maka slogan ini sudah tidak bermakna lagi kepada masyarakat.

"Kami percaya penyelesaian paling mudah adalah mengubah venue perlawanan ini ke sebuah stadium yang lebih mudah diakses dan kami sedia bekerjasama.

"Tanpa akses mudah untuk kereta api, ramai yang tiada pilihan selain daripada memandu, terbang, atau menaiki kereta api yang terlalu rumit atau perlu menempah penginapan semalaman."