Piala FA: Gol dramatik Amad Diallo pastikan Manchester United tumbangkan Liverpool

Muzaffar Musa
Mac 18, 2024 01:53 MYT
MANCHESTER UNITED 4 LIVERPOOL 3
Pemain gantian, Amad Diallo, memastikan Manchester United meraih kemenangan dramatik 4-3 dalam masa tambahan untuk menyingkirkan seteru tradisi, Liverpool, sekali gus membawa The Red Devils ke separuh akhir Piala FA awal pagi tadi.
Tumpuan terarah ke Old Trafford, di mana dua seteru besar berkenaan bertemu dalam aksi sengit yang memukau, di mana kedua-duanya saling berbalas serangan.
Scott McTominay meletakkan United di depan seawal minit ke-10 dengan menyudahkan bola muntah susulan percubaan awal Alejandro Garnacho tetapi Liverpool kelihatan akan memenangi pertemuan kali ini dengan meraih dua gol sebelum ke bilik persalinan, masing-masing disudahkan Alexis Mac Allister (m-44) dan Mohamed Salah (m-45+2).
United bimbingan Erik ten Hag tidak memberikan respons positif biarpun ketinggalan tetapi Antony berhasil menyamakan kedudukan menerusi pusingan gemilangnya sebelum melepaskan penyudah ke gawang lawan pada minit ke-87 untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan.
Pemain gantian Liverpool, Harvey Elliot, kembali meletakkan The Reds di depan pada minit ke-105, hanya untuk sekali lagi disamakan kedudukan oleh Marcus Rashford pada minit ke-112.
Ketika perlawanan itu kelihatan akan diheret ke penentuan penalti, Diallo memastikan kemaraan United ke separuh akhir dalam waktu kecederaan masa tambahan dengan menyudahkan umpanan Garnacho susulan satu serangan balas pantas.
Pemain berusia 21 tahun itu, bagaimanapun, dilayangkan kad kuning kedua gara-gara menanggalkan jersinya ketika keraian berkenaan.

AFTER OVER 120 MINUTES OF BREATHLESS FOOTBALL... WE'RE THE FAMOUS MAN UTD AND WE'RE GOING TO WEMBLEY!!! ?️#MUFC || #FACup pic.twitter.com/zuA3cPy10u

— Manchester United (@ManUtd) March 17, 2024
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
#bola sepak #Manchester United #Liverpool #Piala FA Inggeris