Jurulatih Pahang, Dollah Salleh, enggan melihat insiden kad merah dalam final Piala FA musim lalu menghantui pasukannya untuk perlawanan akhir, esok taktala pengendali Selangor, Muhammad Nazliazmi Mohamad Nasir, mengidam musim pertama yang gemilang dalam kariernya selaku jurulatih.

Aksi final Piala FA 2017 tampak masih segar dalam ingatan Dollah selaku jurulatih skuad Tok Gajah.

Pasukannya tewas 2-3 kepada Kedah yang menyaksikan mereka 'merana' beraksi dalam tempoh sejam dengan 10 pemain susulan Kiko Insa dibuang padang pada minit ke-33.

Enggan episod sama berulang di Stadium Nasional Bukit Jalil, Dollah mengingatkan anak buahnya agar tampil fokus sepanjang 90 minit perlawanan untuk menebus kekecewaan lalu.

"Tidak kira apa yang berlaku, kami hanya mahukan kemenangan esok. Dengan apa cara sekalipun, kami perlu beraksi baik.

"Kami tidak mahu final sebelum ini ketika permainan hanya berlangsung 10 minit, kami sudah ada satu kad merah dan terpaksa bermain dengan 10 orang. Ia perlawanan sukar tetapi esok permainan kami berbeza," kata Dollah.

Mengakui pemainnya bebas daripada kecederaan, Dollah, bagaimanapun masih memantau kecergasan penyerang, Patrick Cruz, sebelum memutuskan empat pemain import yang akan dipertaruhkan berdepan lawannya itu.

Dalam pada itu, Matthew Davies juga berhasrat melakar sejarah peribadi menjadi sebagai antara kapten termuda meraih kejuaraan pada usia 23 tahun.

Pemain berdarah campuran Malaysia-Australia itu juga tidak mahu insiden musim lalu berulang, dengan pasukannya dibolosi dua gol ketika babak pertama bertemu Kedah dalam perlawanan akhir Piala FA.

"Ia sesuatu yang mengecewakan tetapi seperti yang jurulatih beritahu, kali ini ia berbeza. Diharapkan apa yang berlaku tahun lalu tidak akan terjadi dan mendapat keputusan positif dalam final esok," kata Davies.

Sementara itu, skuad Selangor bakal beraksi tanpa tonggak pertahanan, Willian Pacheco, ekoran kecederaan.

Nazliazmi, bagaimanapun, tetap optimis terhadap keupayaan pemain sedia ada dalam merealisasikan impian untuk menjulang trofi sulung dalam kariernya.

"Ini pengalaman pertama saya, pengalaman yang cukup besar untuk permulaan kerjaya saya sebagai jurulatih.

"Saya tidaklah mengharapkan kesempurnaan tetapi mengharapkan apa yang dirancang dipermudahkan. Tidak ramai yang menjangkan Selangor boleh melangkah sejauh ini," katanya.

Kelibat Amri Yahyah jelas mencuri tumpuan selepas dia menjadi penyelamat skuad Merah Kuning dalam aksi final Piala FA 2009.

Menentang gergasi Pantai Timur, Kelantan, Amri meledak gol penyamaan sebelum Selangor muncul juara dalam penentuan sepakan penalti.

"Pada masa itu, kami sebagai satu pasukan tidak berputus asa dan akhirnya kami menang. Saya berharap pemain yang bermain esok dapat mengulangi kejayaan itu," kata Amri.