Juara bertahan, Chelsea, diundi untuk bertemu finalis musim lalu yang ditewaskan mereka, Manchester United, dalam pusingan kelima Piala FA di Stamford Bridge.

The Blues menewaskan United 1-0 di Wembley, Mei tahun lalu, dengan jaringan tunggal daripada Eden Hazard memastikan satu piala buat bekas pengurus, Antonio Conte.

Pengurus pasukan lawan sewaktu itu, Jose Mourinho, turut menempa nasib sama sepertinya, dan pertemuan pusingan 16 kali ini akan menyaksikan skuad kendalian Maurizio Sarri itu menentang barisan pemain Ole Gunnar Solskjaer.

Dengan Liverpool, Arsenal dan Tottenham Hotspur sudah terkeluar daripada saingan, hanya dua pasukan di kedudukan enam terbaik Liga Perdana Inggeris akan mara ke suku akhir.

Manchester City dilihat berkeyakinan untuk layak ke pusingan itu dengan mereka akan berdepan sama ada Middlesbrough atau Newport County.

Doncaster Rovers akan bertemu pasukan divisyen utama, Crystal Palace, manakala pasukan di tangga kedua Liga Satu (divisyen tiga), Portsmouth, akan melayani kunjungan Watford andai mereka berjaya menewaskan Queens Park Rangers dalam perlawanan ulangan.

AFC Wimbledon dan Millwall, yang masing-masing menumbangkan pasukan daripada Liga Perdana -- West Ham dan Everton -- dalam pusingan terdahulu, akan berdepan sesama sendiri untuk ke suku akhir.


Undian pusingan kelima Piala FA

Bristol City lwn Shrewsbury Town/Wolverhampton Wanderers
AFC Wimbledon lwn Millwall
Doncaster Rovers lwn Crystal Palace
Middlesbrough/Newport County lwn Manchester City
Chelsea lwn Manchester United
Swansea City lwn Barnet/Brentford
Portsmouth/Queens Park Rangers lwn Watford
Brighton and Hove Albion/West Brom lwn Derby County