Ketua pasukan Kedah, Khairul Helmi Johari, tidak mahu rakan sepasukannya dibuai keyakinan tinggi biarpun rekod pertemuan dengan Pahang dalam Liga Super sebelum ini memihak kepada skuad Lang Merah.

Menjelang aksi final Piala FA esok, Kedah memiliki reputasi tersendiri susulan kejayaan membenam cabaran Tok Gajah 4-1 dalam aksi Liga Super, 11 Februari lalu, namun Khairul Helmi menganggap itu sudah satu sejarah.

Tambahan pula, aksi itu telah berlalu tiga bulan lepas di mana dia melihat Pahang sudah menjadi sebuah pasukan yang berbeza daripada sebelum ini.

Malah, pentas final sentiasa menjanjikan kejutan serta situasi yang tidak diduga tanpa mengira status pasukan.

"Kami perlu mengambil peluang ini untuk merebut gelaran Piala FA.

"Pada 2008 saya sudah bersama pasukan tetapi tidak sempat bermain.

"Pada 2010 pula, saya bermain tetapi tewas dan terpaksa menunggu sehingga tujuh tahun (untuk kembali beraksi dalam final)."

Dalam perkembangan sama, Khairul Helmi secara peribadi mahu menebus kekecewaan 2010 yang menyaksikan Kedah tumbang melalui sepakan penalti kepada Negeri Sembilan.

Menunggu tujuh tahun untuk kembali beraksi semula dalam perlawanan akhir, kali ini dia tidak mahu Kedah melepaskan kesempatan yang terhidang.

"Bermain menentang Pahang sebelum ini, kita masih di awal liga.

"Banyak pasukan yang belum mendapat rentak, jadi dalam perlawanan akhir ini kita tidak boleh samakan seperti perlawanan liga.

"Apa yang penting, kami perlu fokus dan berdisiplin di atas padang serta mengikut arahan jurulatih."