Ryan Mason menegaskan Tottenham bukan sekadar "pasukan Harry Kane" ketika dia menunggu berita mengenai kecergasan penyerang itu sebelum final Piala EFL.

Kane dalam keraguan untuk perlawanan esok menentang Manchester City selepas mengalami kecederaan pergelangan kaki minggu lalu dan gagal turun berlatih sejak itu.

Jika kapten England itu beraksi, dia akan berdepan skuad kendalian Pep Guardiola, yang terkenal menyebut Spurs sebagai "pasukan Harry Kane" pada tahun 2017.

Kane telah terlibat dalam 47 gol dalam 43 perlawanan untuk Tottenham dalam semua pertandingan musim ini -- bakal dirindui Spurs hujung minggu ini -- namun perbincangan mengenai ulasan Guardiola mendorong ketua pelatih sementara, Mason untuk menyatakan tentang kemampuan pasukannya.

"Saya berasakan apabila anda mempunyai salah satu pemain terbaik di dunia, saya rasa anda boleh mengatakannya," kata Mason. "Saya memikirkan Barcelona memiliki Messi, Real Madrid memiliki Ronaldo (sehingga 2018).

"Apabila pemain mencatatkan angka yang banyak dalam menjaringkan dan mencipta momen, saat-saat besar dalam perlawanan besar, wajar jika fikiran anda menganggap mereka pemain paling penting, tentu sekali.

"Tetapi kami adalah sepasukan, skuad, sekumpulan pemain. Sesiapa yang turun beraksi perlu bersatu, perlu bekerja, berjuang bersama, bersaing untuk mendapatkan hasil yang positif.

"Sudah tentu, jika anda mempunyai salah seorang pemain nombor sembilan terbaik dunia, orang akan bercakap, tetapi, tidak, ini adalah usaha gabungan semua pemain yang terlibat, itu pasti."

Sementara Mason menilai Kane "jam demi jam" dan tidak diragukan lagi akan memilih penyerang itu jika dia cergas, Spurs sebenarnya bernasib lebih baik - berdasarkan angka - ketika pemain utama mereka tidak diturunkan.

Tottenham telah memenangi 53.5 peratus daripada 43 perlawanan ketika menurunkan Kane musim ini, dengan menjaringkan 2.0 gol setiap perlawanan.

Ketika dia tidak terlibat - termasuk dalam kemenangan sulung Mason melawan Southampton - Tottenham memperoleh enam kemenangan daripada sembilan (66.7 peratus) dan telah menjaringkan 2.8 gol setiap perlawanan.