WOLVES 2 TOTTENHAM 2
(Spurs mara selepas menang penentuan penalti 3-2)

Nuno Espirito Santo memohon kesabaran buat Tanguy Ndombele sebaik Tottenham menewaskan Wolves 3-2 dalam penentuan penalti selepas terikat 2-2 dalam masa sebenar perlawanan pusingan ketiga Piala Liga Inggeris (EFL) di laman lawan awal pagi tadi.

Ndombele dan Harry Kane memberikan jaringan pendahuluan buat Spurs tetapi gol daripada Leander Dendoncker dan Daniel Podence, yang memanfaatkan kelalaian Ndombele, membawa perlawanan itu ke penentuan penalti.

Sepakan Dendoncker kemudian diselamatkan Pierluigi Gollini sebelum Conor Coady dan Ruben Neves turut gagal menemui sasaran untuk Spurs mara ke pusingan keempat buat kali kelapan sepanjang 10 musim lalu.

Selepas memenangi penentuan penalti itu, Nuno menjelaskan bahawa pemain tengah Perancis, Ndombele, memerlukan masa untuk kembali menemui keyakinan dan ketenangan.

"Ayuh elakkan analisis mengenai individu sebanyak mungkin," kata Nuno sebagai respons kepada wartawan ketika ditanya mengenai kesilapan yang dilakukan pasukannya sewaktu gol kedua Wolves.

"Kami akan melakukannya (analisis itu) dan kami hanya akan melakukannya sesama kami.

"Saya fikir kita perlu bersabar dengan Tanguy berdasarkan apa yang dilaluinya dalam pramusim dan ini hanyalah perlawanan ketiganya daripada kesemua perlawanan yang telah kami lalui setakat ini.

"Jadi, ayuh bersabar dengan kesemua pemain kami dan bersabar dengan masa yang mereka perlukan untuk mendapatkan tahap terbaik yang saya yakin ia dapat dicapai dengan bakat mereka," katanya.

Kane, yang masih belum menjaringkan gol dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini, turut menemui sasaran dalam perlawanan itu dan Nuno menggunakan situasi ketua pasukannya itu sebagai contoh mengapa kesabaran diperlukan buat barisan pemainnya.

"Daripada segi pasukan ini dan daripada segi persiapan skuad ini, kami mempunyai pemain yang telah mengikuti 65 hingga 70 sesi latihan dan kami mempunyai pemain yang baru menyertai 15 sesi latihan.

"Sehingga kami mendapatkan keseimbangan dalam segala aspek, saya fikir ia akan menjadi momen di mana pemain kami akan bertambah baik

"Harry mempamerkan persembahan yang baik, saya fikir masih banyak yang boleh disumbangkannya dan ia tentang pasukan ini meningkat secara bersama," tambahnya