Pembantu kepada Jurgen Klopp, Pep Ljinders, memohon Liverpool untuk bersabar dengan pemain yang baru ditandatangani mereka, Ibrahima Konate, menjelang perlawanan Piala EFL menentang Norwich City awal pagi esok.

Kemasukan pertahanan tengah itu daripada RB Leipzig pada jendela perpindahan lalu dilaporkan memakan belanja sekitar £36 juta (RM205.95 juta) dan dia kemudian melakukan penampilan pertamanya ketika menentang Crystal Palace hujung minggu lalu.

Bagaimanapun, pemain itu kelihatan akan menjadi pilihan terakhir di belakang Virgil van Dijk, Joe Gomez dan Joel Matip.

Ljinders menegaskan kesemua pemain memerlukan masa untuk menyesuaikan diri di Anfield -- kecuali Van Dijk -- dan menjadikan Andy Robertson sebagai contoh terbaik.

"Robbo menjadi contoh kepadanya (Konate) bahawa semua orang memerlukan masa untuk menyesuaikan gaya permainan," kata Ljinders dalam sidang media sebelum perlawanan.

"Virgil mungkin satu-satunya pemain yang dapat segera menyesuaikan diri.

"Ibrahima amat bagus daripada segi fizikal, dia dapat mengejar ramai pemain.

"Dia sedang menyesuaikan diri dengan baik. Dia masih muda. Amat baik untuk dia dapat melakukan penampilan pertama dan meningkat daripada itu," katanya.