Liverpool secara rasmi memohon pertemuan separuh akhir pertama Piala Liga Inggeris (EFL) menentang Arsenal ditangguhkan.

Perlawanan itu, yang dijadualkan berlangsung di Stadium Emirates, awal pagi Jumaat ini, dalam keraguan selepas kelab Merseyside berkenaan mengesahkan jumlah kes COVID-19 yang semakin meningkat di pangkalan kelab terbabit.

Satu kenyataan di laman sesawang rasmi kelab itu berbunyi: "Kelab Bola Sepak Liverpool mengesahkan permohonan telah dikemukakan untuk penangguhan perlawanan separuh akhir Piala Carabao, pertemuan pertama menentang Arsenal berikutan peningkatan jumlah kes positif COVID-19 selain pilihan pemain.

"The Reds secara rasmi meminta EFL agar perlawanan itu dijadualkan semula selepas ujian positif yang merebak dalam kalangan pemain dan kakitangan selain faktor lain yang mempengaruhi pemilihan pemain termasuk masalah kesihatan lain dan kecederaan."




Liverpool juga mengesahkan bahawa sesi latihan di Pusat Latihan AXA semalam telah dibatalkan.

Pasukan bimbingan Jurgen Klopp itu baru sahaja mengalu-alukan Fabinho, Virgil van Dijk dan Curtis Jones yang sembuh daripada pandemik berkenaan sebelum kehilangan Alisson Becker, Joel Matip, Roberto Firmino dan pengurus tersebut atas sebab yang sama menjelang keputusan seri 2-2 di Chelsea, kelmarin.

The Reds juga tanpa khidmat Thiago, Takumi Minamino, Divock Origi, Nat Phillips dan Harvey Elliott di Stamford Bridge akibat kecederaan, manakala Mohamed Salah, Sadio Mane dan Naby Keita telah meninggalkan kelab untuk beraksi dalam Piala Negara-Negara Afrika.