Penolong jurulatih Liverpool, Pep Lijnders, melahirkan keterujaannya berikutan Harvey Elliott sudah kembali ke latihan penuh dengan mengatakan pemain muda itu "tidak kehilangan otak bola sepaknya."

Elliott telah diketepikan sejak September lalu setelah buku lalinya terkehel ketika membenam Leeds United 3-0.

Pemain termuda Liga Perdana Inggeris (EPL) itu telah terbabit dalam empat perlawanan bersama Liverpool musim ini.

Awal minggu ini, Elliot, 18, kembali menjalani latihan penuh dan Lijnders tersenyum ketika ditanya mengenai bekas pemain Fulham itu dalam sidang akhbar menjelang perlawanan separuh akhir kedua Piala Liga Inggeris (EFL) di Arsenal, awal pagi esok.

"Biar saya katakan bahawa dia tidak kehilangan otak bola sepaknya," katanya walaupun tidak meletakkan skala masa untuk Elliott kembali beraksi.

"Dia dengan segera menunjukkan kemampuan. Ia akan menjadi satu jenayah jika kami tidak akan menurunkannya jika dia berlatih seperti ini tetapi kami sedar ia hanya permulaan latihan pasukan.

"Dia masih memerlukan masa dan kami akan mengambil langkah secara berperingkat.

"Sesetengah pemain mereka tidak pernah mengetuk pintu, mereka berlari melaluinya -- dan dia salah seorang daripadanya."




Pada masa sama, Lijnders menegaskan bahawa kelab Merseyside itu tidak hanya bergantung kepada Mohamed Salah dan Sadio Mane untuk merobek gawang lawan selepas pertemuan pertama separuh akhir Piala EFL itu berkesudahan tanpa jaringan.

Kedua-dua pemain itu kini sedang mengharungi kempen Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) bersama Mesir dan Senegal.

“Kami sedar bahawa kami perlu memiliki senjata yang berbeza, mencipta gol, menggelecek dan menyerang dari segenap sudut, bukan hanya berdasarkan serangan balas atau kepantasan dua pemain ini sahaja.

"Mereka adalah tunjang kami di barisan depan tetapi apa yang saya suka ialah kami bukan setakat mempunyai satu senjata, kami mempunyai begitu banyak cara yang berbeza untuk menyerang.

"Bagaimana kami berkembang sebagai sebuah pasukan, mengembangkan permainan berdasarkan kedudukan kami, ia penting dan kami sangat menggemarinya."