MANCHESTER UNITED 0 WEST HAM 1

West Ham memastikan kemenangan pertama daripada 18 percubaan di Old Trafford apabila jaringan Manuel Lanzini dalam babak pertama sudah cukup untuk mereka menyingkirkan Manchester United dalam pusingan ketiga Piala Liga Inggeris (EFL) awal pagi tadi.

Kedua-dua pasukan mengubah barisan pemain mereka berbanding ketika United menewaskan The Hammers 2-1 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) hujung minggu lalu tetapi kali ini, kemenangan berpihak kepada pasukan bimbingan David Moyes berkenaan.

Mereka mendahului seawal minit kesembilan menerusi gol pertama Lanzini musim ini, di mana pemain kebangsaan Argentina itu memanfaatkan sepenuhnya kesilapan pertahanan lawan.

Walaupun memasukkan Mason Greenwood dan Bruno Fernandez dalam babak kedua, United tidak pernah kelihatan akan dapat bangkit dalam perlawanan itu, sekali gus terpaksa merelakan kemaraan The Hammers.

West Ham memanfaatkan permulaan cemerlang mereka apabila Lanzini dengan tenang melakukan penyudah dari jarak 10 ela ke arah penjuru kanan bawah gawang Dean Henderson susulan larian bijak Ryan Fredericks.

Tidak lama selepas itu, percubaan Juan Mata dari sudut sukar berakhir di palang gol manakala usaha yang dilakukan Anthony Martial pula terbias ke luar padang.

Penjaga gol West Ham, Alphonse Areola, menolak keluar rembatan jarak jauh Jesse Lingard buat The Red Devils, yang secara keseluruhan melakukan 13 percubaan sepanjang babak pertama tetapi gagal menemui gol penyamaan sebelum waktu rehat.

Pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer, memasukkan Greenwood selepas sejam permainan dan pemain remaja itu hampir memberikan impak segera tetapi usahanya digagalkan Areola dengan menggunakan kaki.

West Ham turut memperoleh peluang keemasan pada penghujung permainan, di mana percubaan Andriy Yarmolenko terkena tiang dan sepakan Mark Noble pula tepat ke arah Henderson tetapi kelebihan satu gol itu dipertahankan sehingga wisel penamat untuk menyingkirkan United seawal aksi pertama.