Piala EFL: Lacazette tawar Arsenal tonik baru

Shaiful Shamsudin
Ogos 25, 2021 03:22 MYT
Mikel Arteta memiliki lebih banyak pilihan pemain untuk dipertaruhkan dalam Piala Liga Inggeris (EFL) ketika Arsenal bertemu West Brom apabila Martin Odegaard sedia diturunkan sambil Alexandre Lacazette kembali menjalani latihan penuh.
Lacazette belum tampil untuk The Gunners musim ini selepas dijangkiti COVID-19 sebelum perlawanan pembukaan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Brentford.
Penyerang Perancis itu kini kembali berlatih dengan skuad utama menjelang perlawanan pusingan kedua berkenaan, awal pagi esok.
Lacazette menjaringkan 17 gol dalam 43 penampilan musim lalu untuk menjadi penyerang paling berbisa kelab yang berpangkalan di utara London itu.
Odegaard menyertai The Gunners secara kekal daripada Real Madrid, Jumaat lalu, susulan prestasi memberangsangkan ketika dipinjamkan musim lalu.
Dia meledak satu gol dan mencipta dua bantuan jaringan sementara 20 peluang yang diciptanya merupakan yang tertinggi berbanding rakan sepasukan yang lain.
Pemain dari Norway itu tidak mendapat pelepasan antarabangsa ketika mereka kalah 0-2 kepada seteru kota, Chelsea, Ahad lalu.
Arteta pastinya mengharapkan perlawanan Piala EFL itu menjadi titik tolak kebangkitan pasukannya selepas tewas berturut-turut dalam dua perlawanan pembukaan EPL sebelum ini.

0 - In what is their 118th campaign in England's top four tiers, Arsenal have opened a league season with two defeats and no goals after two matches for the first time in their history. Damaged. pic.twitter.com/mlXMGzPLvt

— OptaJoe (@OptaJoe) August 22, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Sementara itu, khidmat penjaga gol simpanan, Alex Runarsson, juga boleh digunakan selepas positif pandemik berkenaan. Namun, Arteta mungkin menyerahkan kemunculan pertama kepada Aaron Ramsdale, yang ditandatangani daripada Sheffield United minggu lalu.
Pertahanan Hector Bellerin, Gabriel, Kieran Tierney dan penyerang, Gabriel Martinelli, masing-masing turut kembali menjalani latihan selepas ditimpa kecederaan ringan.
Bagaimanapun, Arsenal terlepas khidmat pemain tengah, Thomas Partey, termasuk penyerang, Eddie Nketiah, yang dibelenggu kecederaan pergelangan kaki di celah-celah minat daripada Crystal Palace.
The Gunners juga akan menilai tahap kecergasan penyerang Brazil, Willian, yang baru-baru ini dikaitkan dengan perpindahan ke Corinthians di negara kelahirannya memandangkan sudah sembuh daripada COVID-19.
Namun, pertahanan tengah, Ben White, belum pulih daripada situasi sama yang meminggirkannya sebelum pertembungan dengan Chelsea.
#Arsenal #Piala EFL #Covid-19 #Piala Liga Inggeris