Phil Jones sudah bersedia untuk kembali beraksi buat Machester United selepas pengurus, Ole Gunnar Solskjaer, mengesahkan pertahanan tengah itu akan berada dalam skuadnya menjelang perlawanan Piala EFL menentang West Ham awal pagi esok.

Pemain berusia 29 tahun itu tidak pernah mwakili The Red Devils sejak Januari 2020 gara-gara kecederaan lutut yang membelenggu kariernya.

Jones menjaringkan gol dalam penampilan terakhirnya -- ke atas Tranmere Rovers dalam Piala FA -- dan meluahkan mengenai proses pemulihan jangka panjangnya dalam satu temu bual penuh emosi bersama The Times hujung minggu lalu.

Selepas mewakili skuad B-23 United baru-baru ini, pertahanan tengah itu kini sudah bersedia untuk kembali beraksi dalam pasukan utama, bermula dengan aksi Piala EFL di Old Trafford.

"Saya amat gembira buat Phil," kata Solskjaer kepada MUTV.

"Dia telah melengkapkan dua aksi 90 minit dengan skuad B-23, bermain beberapa minit dalam perlawanan tertutup dan dia tidak mengalami sebarang masalah dengan lututnya.

"Dia berusaha dengan amat gigih. Saya pernah melalui perkara yang sama dan melaluinya selama tiga tahun, atau sekurang-kurangnya lebih daripada dua tahun, dan saya tahu cabaran yang dilaluinya secara mental, berfikir yang 'saya tidak dapat lagi bermain bola atau dapat berjalan semula atau bersama anak-anak di taman'.

"Dia seorang yang amat gigih dan profesional; tidak banyak gaya, tiada media sosial dan saya seorang yang ketinggalan zaman, saya gemar pemain seperti itu. Dia hanya fokus kepada satu perkara dan tabah menghadapi setiap cabaran dan dia sudah kembali.

"Dia akan berada dalam skuad ini. Ia hari yang indah buatnya dan buat kami juga dan ia merupakan sesuatu yang diraihnya hari ini," katanya.