Lucas Moura menjaringkan gol tunggal Tottenham ketika mengatasi Burnley 1-0 untuk mara ke suku akhir Piala EFL.

Pemain kelahiran Brazil itu memisahkan pertemuan antara dua kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan gol pada minit ke-68, menanduk masuk hantaran Emerson Royal.

Kemenangan itu menyaksikan finalis 2021 mara ke suku akhir buat kali ketiga dalam tempoh empat tahun.

Skuad kendalian Nuno Espirito Santo turut berjaya tidak dibolosi buat pertama kali selepas 11 percubaan, dan meraih kemenangan kedua di tempat lawan dalam lapan perlawanan.