Piala EFL: Guardiola terpaksa bariskan pemain muda City

Muzaffar Musa
September 21, 2021 01:44 MYT
Pemain Akademi Manchester City akan diberikan peluang untuk menyinar apabila pasukan juara bertahan itu berdepan Wycombe Wanderers dalam Piala EFL awal pagi esok.
Pasukan juara Liga Perdana Inggeris (EPL) berkenaan akan melayani kunjungan pasukan daripada liga divisyen tiga, Wycombe, dalam perlawanan pusingan ketiga kejohanan itu.
City akan turun beraksi selepas dikecewakan dengan keputusan seri ketika menentang Southampton -- biarpun sepatutnya bersyukur kerana masih membawa pulang satu mata setelah semakan video bantuan pengadil (VAR) menafikan sepakan penalti buat The Saints.
Aymeric Laporte, John Stones, Rodri dan Oleksandr Zinchenko, kesemuanya terlepas perlawanan dengan Southampton itu dan Guardiola turut mendedahkan bahawa Ilkay Gundogan juga tidak dapat beraksi menentang The Chairboys.
Guardiola sering menggunakan pusingan awal kejohanan itu untuk memberikan peluang buat pemain muda, di mana Liam Delap, Tommy Doyle dan Taylor Harwood-Bellis diberikan kepercayaan itu musim lalu.
Doyle dan Harwood-Bellis kini telah dipinjamkan kepada pasukan lain tetapi Guardiola berkata dia akan sekali lagi mempertaruhkan kudrat pemain belia yang dimiliki City.

Frustrating afternoon not being able to get all 3 points, thanks for the great support ? pic.twitter.com/Zixl2JxySG

— Jack Grealish (@JackGrealish) September 18, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
"Saya tiada pilihan, kami akan membariskan beberapa pemain muda," kata Guardiola kepada wartawan.
"John, Aymeric, Oleks, Rodri dan saya fikir Gondugan juga -- kesemua mereka cedera. Ia akan menjadi peluang yang baik buat pemain akademi -- kerana itu mereka ada di sini," katanya.
Bukan sekadar masalah kecederaan yang membimbangkan Guardiola, bahkan dia juga perlu memberikan waktu rehat buat pemain utamanya bagi mengembalikan kecergasan terbaik.
"Sesetengah pemain mungkin akan direhatkan dalam perlawanan yang akan kami hadapi," tambah pengurus City itu, yang akan bertemu Chelsea dalam perlawanan EPL hujung minggu ini.
"Ruben (Dias) telah bermain dalam setiap minit, sama seperti Joao (Cancelo), jadi saya tidak fikir mereka akan bermain dalam perlawanan ini."
#bola sepak #Manchester City #Pep Guardiola #Wycombe Wanderers #Liga Perdana Inggeris #Piala EFL