Claudio Bravo akan memulakan permainan untuk Manchester City dalam perlawanan akhir Piala Liga Inggeris (EFL) menentang Aston Villa apabila pengurus, Pep Guardiola, menaruh kepercayaan terhadapnya berbanding Ederson menjelang pertembungan di Wembley itu.

Pengurus City itu kerap menurunkan penjaga gol berusia 36 tahun berkenaan dalam saingan kalah mati peringkat domestik musim ini.

Bekas pengurus Barcelona itu berjanji akan mengekalkan dasar tersebut dalam perebutan trofi berkenaan pada 1 Mac depan.

Pengesahan itu pasti disambut baik pemain Chile tersebut yang kurang mendapat perhatian dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak ketibaan Ederson pada pembukaan musim 2017-18.

Bravo terpaksa berehat hampir 12 bulan ekoran masalah tumit pada Ogos 2018. Sehubungan itu, Wembley merupakan peluang untuknya kembali menghidupkan karier di City selain membuktikan keupayaannya kepada Guardiola.

Bekas tonggak Barca dan Real Sociedad itu masih diketepikan ketika City menjulang Piala EFL musim lalu, dengan Ederson dipertaruhkan berbanding pemain muda, Aro Muric, yang ditugaskan dalam pusingan sebelum itu.

"Musim lalu, saya memilih Ederson berbanding Aro memandangkan kami akan menentang Chelsea," katanya.

"Chelsea gemar memberi tekanan tinggi yang luar biasa, jadi kami perlu lebih pantas dan lebih baik.

"Dan prestasi Edy (Ederson) pula lebih baik daripada penjaga gol muda, Aro. Aro telah banyak membantu kami.

"Saya bercakap dengannya sebelum perlawanan final itu tetapi jika Claudio cergas, maka dia akan bermain."



Editor: Shaiful Shamsudin