MANCHESTER CITY 6 WYCOMBE WANDERERS 1

Pep Guardiola berterima kasih kepada Akademi Manchester City selepas memberikan penampilan pertama buat lima pemain muda kelab itu ketika menewaskan Wycombe Wanderers dalam Piala EFL awal pagi tadi.

City, yang menjuarai Piala EFL sepanjang empat musim lalu, membelasah lawan dari divisyen tiga itu 6-1 di Stadium Etihad.

Bagaimanapun, Wycombe sempat mencipta kejutan apabila mendahului menerusi jaringan Brandon Hanlan tetapi Kevin De Bruyne segera menyamakan kedudukan sebelum gol Riyad Mahrez dan Phil Foden meletakkan perlawanan itu berada dalam kawalan City.

Ferran Torres, Mahrez dan pemain gantian, Cole Palmer -- seorang lagi graduan akademi pasukan itu -- masing-masing menambah satu gol dalam babak kedua untuk melengkapkan kemenangan bergaya The Citizens.

Keempat-empat pertahanan City melakukan penampilan pertama dalam perlawanan itu -- dengan kesemuanya dilahirkan selepas alaf baru -- sambil pemain tengah bertahan, Romeo Lavia, juga turun dalam aksi pertamanya di peringkat senior.

Menjelang perlawanan itu, Guardiola berkata bahawa dia tiada pilihan selain mengetengahkan pemain muda City dan keputusan berkenaan jelas tidak mengecewakannya.

"Saya hanya boleh mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pemain daripada akademi.

"Mereka (akademi) mempunyai ramai pemain yang bagus, bukan sekadar seorang, dua. Kesemua mereka amat bijak. Terima kasih juga kepada keluarga mereka. Kami mempunyai pemain yang berbakat. Kami sudah pasti boleh mengharapkan mereka," katanya.

Dengan kebanyakan pemain yang diturunkan City kelihatan kurang berpengalaman, Foden -- beraksi di bahagian tengah -- memainkan peranan yang amat matang walaupun baru berusia 21 tahun.

"Sudah pasti, sememangnya (saya kagum)," kata Guardiola mengenai prestasi Foden.

"Phil cedera selama dua bulan sejak kembali daripada skuad kebangsaannya. Phil tidak memerlukan banyak perlawanan untuk kembali mendapatkan rentaknya kerana dia hidup 24 jam dengan bola sepak. Dia sentiasa bersedia."