Juara Bertahan Piala Liga Inggeris (EFL), Manchester City, akan bertandang ke laman Preston North End dalam aksi pusingan ketiga manakala Manchester United akan menantikan kunjungan Rochdale.

Finalis musim lalu, Chelsea, akan bertemu sama ada Grimsby Town atau Macclesfield Town sementara juara Eropah, Liverpool akan bertandang ke laman MK Dons.

Tottenham Hotspur pula akan berkunjung ke gelanggang Colchester United dan seteru London mereka, Arsenal, akan menantikan Nottingham Forest.

Portsmouth akan mengalu-alukan kedatangan Southampton ke Fratton Park sebagai 'derby Pantai Selatan' dengan kesemua perlawanan itu dijangka akan berlangsung pada 23 September ini.

Sunderland menghasilkan kejutan terbesar dalam pusingan kedua semalam dengan menewaskan pasukan daripada Liga Perdana Inggeris, Burnley, 3-1 di Turf Moor walaupun ketinggalan gara-gara jaringan pertama Jay Rodriguez sejak menyertai semula The Clarets.

Will Grigg kemudian menyamakan kedudukan buat The Black Cats sebelum Tom Flanagan dan George Dobson menemui sasaran dalam lima minit pertama babak kedua.

Sunderland turut menewaskan satu lagi wakil Liga Perdana dengan menidakkan pasukan baru, Sheffield United, di Bramall Lane.

Bournemouth pula akan ke Burton Albion minggu depan selepas mereka memerlukan penentuan sepakan penalti untuk menyingkirkan Forest Green Rovers selepas perlawanan berkesudahan tanpa jaringan.

Leicester City -- yang akan bertemu Luton Town -- turut mara melalui penentuan itu selepas terikat 1-1 dengan seteru Liga Perdana, Newcastle United.

Everton ketinggalan seawal minit pertama kepada pasukan Liga Satu (Divisyen 3), Lincoln City, namun bangkit meraih kemenangan 4-2 untuk bertemu Sheffield Wednesday, yang turut mara selepas menewaskan Rotherham United 1-0.

Portsmouth menewaskan QPR 2-0 dan Swansea City membelasah Cambridge United 6-0 untuk bertemu Watford.

Perlawanan pusingan ketiga:
Wolves lawan Reading
Oxford United lawan West Ham
Watford lawan Swansea City
Brighton and Hove Albion lawan Aston Villa
Sheffield United lawan Sunderland
Colchester United lawan Tottenham
Portsmouth lawan Southampton
Burton Albion lawan Bournemouth
Preston North End lawan Manchester City
MK Dons lawan Liverpool
Manchester United lawan Rochdale
Luton Town lawan Leicester City
Chelsea lawan Grimsby Town/Macclesfield Town
Sheffield Wednesday lawan Everton
Arsenal lawan Nottingham Forest
Crawley lawan Stoke City