Mikel Arteta memuji semangat sepasukan Arsenal selepas The Gunners berjuang untuk seri ketika mengikat Liverpool tanpa jaringan di Anfield.

Granit Xhaka dilayangkan kad merah di pertengahan babak awal pertemuan pertama separuh akhir Piala Liga Inggeris (EFL), awal pagi tadi, berikutan terjahannya ke perut Diogo Jota.

Ini adalah kali kelima Xhaka dibuang padang sejak dia membuat penampilan sulung bersama kelab London itu pada 2016-17, lebih banyak daripada pemain Liga Perdana Inggeris (EPL) yang lain.

Namun, tanpa pemain utama Sadio Mane dan Mohamed Salah yang masing-masing bersama Senegal dan Mesir dalam Piala Negara-Negara Afrika (AFCON), Liverpool tumpul di depan gawang dan gagal memanfaatkan deretan peluang terhidang.

Usaha Curtis Jones pada masa kecederaan merupakan satu-satunya percubaan tepat tuan rumah sementara kesilapan Aaron Ramsdale hampir menghadiahkan gol buat Takumi Minamino (yang mencipta enam percubaan), tetapi penyerang Jepun itu memilih untuk merembat tinggi dari jarak dekat sambil peluang terbaik The Gunners hadir menerusi Bukayo Saka telah dihadang oleh Alisson Becker.


Arsenal -- yang turun tanpa pemain utama seperti Emile Smith Rowe, Martin Odegaard, Takehiro Tomiyasu dan Thomas Partey -- akan menuju ke perlawanan timbal balik di Stadium Emirates pada minggu depan bagi menempah pertemuan final dengan Chelsea.

“Mereka mempamerkan semangat juang yang hebat, keazaman, sikap, persaudaraan,” kata Arteta kepada Sky Sports.

"Anda boleh lihat kesungguhan mereka, mereka tidak pernah berputus asa, ia amat sukar dalam situasi ini ketika menghadapi pihak lawan seperti ini. Satu penghargaan yang besar buat barisan pemain.

“Saya tidak pasti sama ada insiden kad merah itu telah mencetuskan inspirasi kepada anak buah saya, tetapi mereka pastinya memberikan tentangan hebat dan sebelum perlawanan, saya sempat berpesan bahawa mereka perlu mempunyai karakter tertentu untuk beraksi di gelanggang ini, pada saat-saat sukar mereka perlu bertindak, tidak boleh reaktif kerana ia boleh menjadi sangat rumit dan saya rasa pemain-pemain dapat menyesuaikan diri dengan baik pada saat-saat tertentu.

"Kami beraksi seperti yang kami perlukan, ia bukan satu permainan yang ingin kami peragakan tetapi itulah yang kami perlu lakukan."



Arsenal beraksi dengan baik ketika menentang Manchester City pada hari Tahun Baru sebelum dikecewakan oleh jaringan lewat Rodri biarpun terpaksa mengharungi permainan dengan 10 orang berikutan Gabriel Magalhaes dibuang padang.

Sejak Arteta mengambil alih tugas pengurus pada Disember 2019, pasukannya telah mengutip 13 kad merah, lima lebih banyak daripada seteru Liga Perdana Inggeris (EPL) yang lain dalam tempoh ini.

The Gunners turut tersingkir daripada Piala FA minggu lalu apabila tewas kepada pasukan Liga Kejuaraan, Nottingham Forest, 0-1 tetapi Arteta menganggap prestasi tidak tekal anak buahnya disebabkan cetek berpengalaman.

Dia berkata: "Ia benar-benar sukar untuk dijelaskan, anda melihat prestasi kami ketika menentang City. Kami lebih menyerlah walaupun beraksi dengan 10 pemain dan pertemuan dengan Forest pula sama sekali berbeza.

"Hari ini kami kembali ke tahap sebenar dan melakukan apa yang kami perlu dilakukan. Kami adalah pasukan yang sangat muda, kadangkala prestasi tidak menentu boleh berlaku."

Arsenal berjaya mengelak kekalahan dalam empat daripada lapan perlawanan terakhir di tempat lawan tatkala mereka mengutip kad merah, namun kecederaan yang menghimpit Bukayo Saka dan Cedric Soares bakal merumitkan lagi keadaan menjelang pertembungan 'derby' London utara dengan Tottenham, Isnin depan.

"Motivasi untuk pertemuan derby akan melonjakkan semangat pemain. Kami tidak mahu mencipta sebarang alasan dan kami menghadapinya dengan cara yang terbaik," tambahnya.