WEST BROM 0 ARSENAL 6

Mikel Arteta gembira dengan karakter yang dipersembahkan barisan Arsenal walaupun mengharungi laluan berliku pada awal musim ini.


Arsenal gagal memungut sebarang mata dan gol dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) buat kali pertama dalam sejarah mereka selepas tewas dua perlawanan pertama liga.

Bagaimanapun, kunjungan ke wakil Liga Kejuaraan, West Brom, dalam Piala Liga Inggeris (EFL), sebentar tadi mampu melonjakkan keyakinan mereka apabila menang 6-0 yang menyaksikan Pierre-Emerick Aubameyang melakar hatrik.

Aubameyang membuat umpanan jaringan kepada Nicolas Pepe yang kemudian melakukan hal serupa untuk Alexandre Lacazette, manakala Bukayo Saka turut menemui sentuhan penyudah.

Ia adalah kemenangan terbesar dalam karier pengurusan Arteta manakala kali terakhhir Arsenal menang bergaya sebegitu adalah empat tahun lalu.

Ditanya oleh Sky Sports apa yang paling menggembirakannya, Arteta - yang akan menyambut AFC Wimbledon dalam pusingan ketiga -- menjawab: "Sikap yang dimiliki oleh pasukan sejak memanaskan badan lagi, cara mereka beraksi dan kerjasama sepasukan.

"Kami semua kecewa memandangkan tidak memenangi salah satu daripada dua perlawanan awal EPL, tetapi saya gembira dengan sikap barisan pemain dan bagaimana mereka bersatu padu.

"Apabila tewas, perkara yang paling penting adalah memenangi perlawanan seterusnya dengan secepat yang mungkin. Menang, dapatkan keyakinan, tidak dibolosi dan menjaringkan beberapa gol menarik.

"Pemain juga memerlukan gol termasuk tonggak yang memerlukan minit permainan. Secara dasarnya, ini adalah satu malam yang sangat positif."





Aubameyang mungkin salah seorang daripada pemain yang mendambakan gol berhasil mempamerkan keupayaannya merobek gawang lawan menerusi sentuhan hatrik ketiganya bersama The Gunners sejak pulih daripada COVID-19.

Kembali diserapkan dalam kesebelasan utama dan mendapat rentak terbaiknya, Aubameyang memuji sikap kelab London itu dengan mengatakan: "Ia adalah satu perasaan yang luar biasa. Saya gembira kerana kami memenangi perlawanan ini.

"Ini langkah yang bagus untuk membina keyakinan pasukan. Kami sedar kami mengharungi permulaan yang sukar musim ini tetapi satu-satunya perkara yang saya dapatkan katakan adalah komitmen pemain selalu di tahap 100 peratus.

"Kami akan berusaha memberikan yang terbaik, memenuhi kemahuan peminat, memenangi perlawanan dan itu saja."

Aaron Ramsdale yang melakukan penampilan pertama mematahkan empat percubaan berbahaya lawan, begitu juga Martin Odegaard yang kembali memperkuatkan skuad kendalian Arteta itu apabila meraikan perpindahan tetapnya, Jumaat lalu, dengan mencipta bantuan gol untuk Saka.

Mengenai kehadiran muka baru, jelas Arteta: "Saya tidak pasti apa yang akan berlaku.

"Masih ada beberapa hari lagi (sebelum pintu perpindahan ditutup). Kami juga akan melepaskan beberapa pemain termasuk apa yang telah dirancang. Jadi kita lihat sahaja kelak."