KANADA 1 CAMEROON 0

Jaringan peringkat antarabangsa pertama Kadeisha Buchanan sudah cukup untuk memastikan kemenangan 1-0 Kanada ke atas Cameroon dalam saingan Kumpulan E, Piala Dunia Wanita di Montpellier, awal pagi tadi.


Kanada menguasai 75 peratus perlawanan sepanjang babak pertama dalam pertemuan sulung kedua-dua pasukan itu di peringkat Piala Dunia.

Bagaimanapun, mereka perlu menunggu sehingga minit ke-45 untuk memecahkan kebuntuan jaringan.

Percubaan Nichelle Prince yang terkena palang hampir menamatkan separuh masa pertama dengan penuh kekecewaan buat pasukan di ranking kelima dunia itu, namun Buchanan melompat tinggi untuk menanduk masuk gol tunggal perlawanan tidak lama kemudian.

Kanada hampir menerima padah susulan kegagalan Prince menyudahkan satu lagi peluang terhidang dalam babak kedua, namun Claudine Meffometou gagal menanduk masuk bola ke gawang lawan untuk skuad kendalian Kenneth Heiner-Moller itu melonjak ke tangga teratas Kumpulan E yang turut dibarisi Belanda dan New Zealand.

Selepas melayakkan diri ke Piala Dunia buat kali ketujuh, Kanada bermula baik dan berkemungkinan memperoleh jaringan lebih awal andai kapten, Christine Sinclair, menanduk tepat peluang yang hadir pada minit ketiga.

Bagaimanapun, palang menjadi penyelamat Cameroon yang menafikan percubaan menarik Prince.

Kekentalan Cameroon akhirnya musnah juga pada setengah jam pertama perlawanan.

Buchanan melonjak tinggi untuk menanduk masuk bola daripada sepakan penjuru dan walaupun diberikan tekanan oleh pertahanan Cameroon, pemain tinggi lampai itu tidak melakukan kesilapan untuk menyudahkan gerakan tersebut.

Cameroon bermula baik dalam babak kedua untuk menyekat beberapa gerakan Kanada walaupun Prince sepatutnya melebarkan kedudukan menerusi satu lagi peluang terbuka yang disia-siakannya menerusi sepakan voli yang melambung tinggi.

Meffometou berpeluang untuk mendatangkan kekesalan di sebalik kegagalan Prince itu, namun dia kehilangan rentak sebelum menanduk keluar bola dari jarak enam ela pada minit ke-70.

Kanada hampir menambah jaringan pada minit ke-88, namun Meffometou mengeluarkan percubaan Sinclair di atas garisan gol.