Stina Blackstenius sekali lagi muncul wira sewaktu Sweden bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Jerman 2-1 dalam saingan suku akhir Piala Dunia Wanita 2019 awal pagi tadi, sekali gus mengesahkan tempat dalam separuh akhir.

Penyerang Linkoping, Blackstenius, menyumbat gol tunggal ketika pertemuan pusingan 16 dengan Kanada dan dalam aksi di Rennes awal pagi tadi, dia sekali lagi menjadi wira untuk menempah tiket berdepan Belanda, Rabu ini.

Sofia Jakobsson muncul pemain pertama yang membolosi gawang Jerman dalam saingan kali ini apabila dia memadamkan gol pembukaan Lina Magull pada minit ke-22.

Blackstenius melengkapkan kebangkitan tiga minit selepas rehat, memberikan Sweden kemenangan pertama ke atas Jerman dalam kejohanan besar buat kali pertama sejak 1995, di mana dalam tempoh itu, mereka turut tewas dalam final Euro 2001, Piala Dunia 2003 serta Sukan Olimpik 2016.

Almuth Schult tampil cemerlang untuk menafikan usaha Jakobsson sebelum Jerman memecah kebuntuan ketika permainan berusia 16 minit.

Magdalena Eriksson tersilap memberikan bola kepada Sara Daebritz dan pemain tengah itu mara ke depan sebelum melorongkan buat Magull yang mengawalnya sebelum melepaskan sepakan voli melepasi kaki Hedvig Lindahl.

Jakobsson tidak teragak-agak apabila peluang lain hadir buatnya, dengan menyamakan kedudukan apabila Marina Hegering gagal menyelamatkan bola yang cuba dikeluarkan oleh Linda Sembrant.

Jerman kehilangan khidmat bek kiri, Carlin Simon, akibat kecederaan sebelum rehat dan ketinggalan sebaik sahaja permainan bersambung apabila Schuldt sekadar dapat menepis tandukan hebat Fridolina Rolfo dan bola yang singgah ke kaki Blackstenius disudahkan dengan sepakan tepat ke dalam gawang.

Rolfo dilayangkan kad kuning kerana mengangkat kaki tinggi ke arah Magull pada minit ke-56, menyaksikan dia bakal menjalani penggantungan dalam aksi separuh akhir berdepan Belanda.