Kegagalan Francisca Lara menyempurnakan sepakan penalti pada penghujung permainan menyebabkan Chile tersingkir daripada Piala Dunia Wanita, menyaksikan Cameroon dan Nigeria meraikan kejayaan layak ke pusingan 16.

Aksi terakhir peringkat kumpulan berakhir dengan penuh dramatik apabila Chile tersingkir di sebalik kemenangan 2-0 ke atas Thailand.

Memerlukan kemenangan dengan tiga jaringan untuk melepasi Kumpulan F sebagai salah sebuah pasukan terbaik di tangga ketiga, La Roja mendahului permainan menerusi jaringan sendiri Waraporn Boonsing dan tandukan Maria Jose Urrutia.

Penjaga gol, Boonsing, kemudian melakukan terjahan ke atas penyerang Chile dalam kotak penalti tetapi usaha Lara pada minit ke-86 sekadar menggegar palang gol dan penampilan sulung Chile dalam Piala Dunia berakhir dengan tangisan selepas tamat perlawanan.

Keputusan itu menyaksikan Nigeria -- yang menamatkan saingan di tangga ketiga Kumpulan A -- melangkah ke pusingan penyingkiran menyertai Cameroon, yang melakar kemenangan 2-1 ke atas New Zealand dalam saingan Kumpulan E.

Ajara Nchout meledak gol pembukaan, namun dinafikan jaringan sendiri Aurelle Awona tetapi Nchout memastikan mereka melangkah ke pusingan seterusnya dengan jaringan pada minit ke-95.

Aksi penuh pusingan 16:

Jerman lwn Nigeria

Norway lwn Australia

England lwn Cameroon

Perancis lwn Brazil

Sepanyol lwn Amerika Syarikat

Sweden lwn Kanada

Itali lwn China

Belanda lwn Jepun