NORWAY 0 ENGLAND 3

England melangkah ke separuh akhir Piala Dunia Wanita 2019 secara berturut-turut selepas menang 3-0 ke atas Norway, awal pagi tadi.


Selepas meraih kemenangan kontroversi ke atas Cameroon dalam pusingan 16, tumpuan mereka kembali ke suku akhir dengan pertahanan, Steph Houghton dan Millie Bright, cergas untuk memulakan aksi buat skuad kendalian Phil Neville itu.

Jill Scott mencetak namanya selaku penjaring dalam tiga edisi Piala Dunia Wanita untuk meletakkan Lionesses di depan sebelum Ellen White meledak jaringan keenamnya -- penjaring terbanyak pemain England -- serta merupakan yang kelima dalam kempen ini.

Lucy Bronze menambah gol ketiga dan England mula mengendurkan permainan dalam 30 minit terakhir untuk selesa mengekalkan kelebihan walaupun kekasaran terhadap Nikita Parris gagal diterjemahkan kepada jaringan.

England disingkirkan Jepun dalam edisi empat tahun lalu tetapi berpeluang memperbaiki prestasi itu apabila bakal berhitung dengan tuan rumah, Perancis, atau juara bertahan, Amerika Syarikat, di peringkat seterusnya.

England memulakan perlawanan dengan garang apabila merobek gawang lawan menerusi gol terpantas Piala Dunia Wanita, iaitu dalam tempoh 2 minit 6 saat.

Bronze menyusup dari sayap kanan sebelum melakukan umpanan ke belakang untuk Scott melepaskan tendangan ke sudut kiri selepas White terlebih dahulu gagal menyepak kemas.

England terus mengasak dengan percubaan Parris tersasar sambil rembatan kencang White menggegar tiang.

Lima minit sebelum rehat, kedua-dua pasukan melakukan pertukaran tetapi England mencengkam permainan melalui gandingan berbisa Parris dan White -- yang dilabel Neville dengan jolokan Alan Shearer dan Michael Owen -- untuk gol kedua.

Bronze memecah kebuntuan babak kedua selepas mereka bermula perlahan dengan menyambut sepakan percuma Beth Mead dari jarak 20 ela untuk menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-57.

Ketua pasukan, Houghton, memastikan kekebalan pintu gol England apabila mengeluarkan percubaan Lisa-Marie Utland dari atas garisan sebaik permainan England mulai longgar manakala Karen Bardsley turut menafikan asakan Isabell Herlovsen.

Sebaliknya, anak buah Neville hampir memperoleh gol keempat.

Houghton dijatuhkan Maria Thorisdottir tetapi sepakan penalti Parris diselamatkan Ingrid Hjelmseth untuk mengelak Norway daripada terus dibelasah.