Pengendali pasukan, Jill Ellis, berasakan motivasi bukan satu masalah buat Amerika Syarikat (AS) menjelang aksi pusingan 16 Piala Dunia Wanita berdepan Sepanyol.

AS menamatkan saingan peringkat kumpulan dengan tiga kemenangan daripada tiga perlawanan sementara Sweden tewas 2-0 di Le Havre dan bakal berdepan Sepanyol dalam pusingan seterusnya, Isnin ini.

Lindsey Horan menjaringkan gol terpantas dalam Piala Dunia setakat ini sementara Jonna Andersson meledak jaringan sendiri yang menyaksikan AS merakamkan 18 gol di peringkat kumpulan.

Juara dunia tiga kali, AS, dilihat sebagai pasukan pilihan kejohanan kali ini walaupun mereka berkemungkinan berdepan Perancis dalam suku akhir, namun Ellis enggan tumpuan dan motivasi skuadnya berkurangan.

"Kami memiliki skuad yang mantap daripada akar umbi. Pemain-pemain telah lama beraksi bersama-sama dan mereka telah meraih keputusan hasil daripada usaha yang ditampilkan," kata Ellis.

Penjaring terbanyak AS, Alex Morgan, keluar padang pada separuh masa dan Julie Ertz merupakan pemain yang tidak digunakan dalam perlawanan itu tetapi Ellis tidak terlalu bimbang dengan tahap kecergasan menjelang pusingan penyingkiran.

"Alex mengalami kecederaan dalam separuh masa pertama dan saya mengambil langkah berjaga-jaga untuk merehatkannya, sama seperti Julie yang masih cedera daripada perlawanan sebelum ini. Ia merupakan perlawanan bebas risiko dan kami mahu merehatkan pemain utama untuk aksi seterusnya."