Zlatan Ibrahimovic menegaskan terpulang kepadanya sama ada mahu memutuskan keluar daripada persaraan antarabangsa untuk mengetuai Sweden dalam Piala Dunia Russia 2018.

Ibrahimovic, 36, yang baru menandatangani kontrak bersama LA Galaxy dalam Liga Utama Amerika Syarikat (MLS) semalam, mengumumkan persaraan di peringkat antarabangsa selepas Sweden terkandas di peringkat kumpulan Euro 2016.

Skuad yang diterajui Janne Andersson itu kemudian layak ke pusingan akhir Piala Dunia musim panas ini menerusi tiket play-off dengan membenam Itali, lalu mencetuskan spekulasi bahawa Ibrahimovic yang tercedera selama 12 bulan boleh membuat kepulangan yang hebat.

Disoal mengenai potensi kemunculan semulanya sejurus menyertai Galaxy, bekas penggempur Manchester United itu memberi isyarat kepada Sweden yang berminat untuk melakukannya.

"Tumpuan utama saya ketika ini adalah Galaxy -- untuk menyesuaikan diri, mengenali rakan sepasukan baru, kelab dan bandar ini," kata Ibrahimovic kepada MLSsoccer.com.

"Apabila saya mula berasa selesa, barulah saya akan mengambil langkah seterusnya. Mereka menelefon saya setiap hari untuk bertanyakan situasi, perkembangan, keinginan dan apa yang saya rancangkan.

"Tetapi saya membuat satu persatu langkah dalam satu masa. Jika saya berasa baik dan boleh melakukan apa termampu, pintu akan sentiasa terbuka.

"Ia tidak ada kena mengena dengan pihak Sweden. Ia mengenai saya, jika saya mahu, saya akan ada di sana, jika saya tidak mahu, saya tidak akan.

"Bagaimanapun, biarlah saya mengambil ini perkara ini satu persatu. Saya dahagakan aksi. Apabila saya melakukannya, kita akan lihat apa yang akan berlaku," ujarnya.

Ibrahimovic merupakan mesin gol Sweden dengan rekod 62 gol dalam 116 perlawanan.