Kapten Skuad Projek 2013, Fitri Saari, mencabar pasukan remaja negara untuk mengulangi pencapaian sewaktu mereka meraih tangga keempat Piala Dunia Remaja pada tahun berkenaan.

Malaysia layak ke kejohanan di Guwahati, India itu selepas Persekutuan Hoki Asia (AHF) membatalkan kejohanan kelayakan di Dhaka, Bangladesh berikutan pandemik COVID-19.

Mengimbau pencapainnya bersama Skuad Projek 2013, Fitri berkata kepada wartawan Nadi Arena, Bazly Azmi: "Berdasarkan pengalaman saya, Skuad Projek 2013 adalah pasukan terbaik kerana kami memenangi Kejohanan Remaja Asia di Melaka sebelum menamatkan Piala Dunia Remaja di tangga keempat.

"Apa yang paling penting adalah kita perlu bersatu hati. Jurulatih kami pernah berkata: 'siapa datang kita langgar' dan ia menjadi prinsip kami untuk berdepan setiap lawan.

"Walaupun fizikal mereka lebih besar daripada kita, hati kita perlu lebih besar daripada mereka, itu lebih penting.

"Skuad Projek 2013 menghadapi pelbagai cabaran, termasuk daripada segi kewangan sehingga terpaksa berkongsi makanan tetapi pemain dan jurulatih menerimanya dan ia memberikan hasil sehingga kami menduduki tempat keempat Piala Dunia Remaja.

"Bagi saya, amat realistik untuk mereka (skuad remaja negara) ke peringkat separuh akhir (Piala Dunia Remaja) kerana mereka mempunyai pencapaian dalam Sukan Olimpik Remaja di Argentina, jadi mereka mempunyai potensi dengan pemain yang boleh dikatakan terbaik buat masa sekarang ini.

"Tetapi pemain dan jurulatih perlu bersatu hati," katanya.