Tite menegaskan Brazil tetap akan bersungguh-sungguh tanpa mengira ia kumpulan maut atau tidak selepas mereka diundi menentang Serbia, Switzerland dan Cameroon di peringkat awal kempen Piala Dunia 2022.

Dalam edisi di Russia empat tahun lalu, skuad Selecao turut berdepan Switzerland dan Serbia.

Dalam satu majlis undian di Doha, tengah malam tadi, sebagai pasukan nombor satu dunia ketika ini Brazil dijangka mengungguli Kumpulan G itu yang turut merangkumi Cameroon.

Begitupun, ketua jurulatih Brazil itu berkata tiada sebarang ruang untuk mereka berpuas hati.

Dia memberitahu pemberita: "Ia bukan kumpulan maut atau tidak. Semuanya sama (seperti kumpulan dalam temasya Russia 2018) -- yang bezanya hanyalah Costa Rica!

“Kami bercakap tentang Switzerland dan Serbia, pasukan yang sempat menghalang kelayakan automatik Itali dan Portugal, begitu juga Cameroon yang sangat handal di Afrika.

"Kami perlu meningkatkan permainan sendiri."



Ketiga-tiga seteru layak ke pusingan akhir itu selaku juara kumpulan tetapi fokus Tite hanya untuk memastikan pasukannya berada dalam keadaan terbaik untuk mengharungi temasya berkenaan.

"Ia sebahagian daripada laluan kami. Kini ia menjadi satu lagi realiti, satu lagi detik," katanya.

"Kami perlu menggiatkan lagi usaha kami. Ada lapan, sembilan bulan lagi menjelang hujung tahun ini. Kami perlu mengetengahkan evolusi kepada pasukan, tingkatkan kualiti pasukan agar setiap atlet dapat berada dalam prestasi terbaik mereka.

“Kami perlu melakukan kerja yang tidak kelihatan untuk memantau mereka, yang mungkin tidak dilihat oleh peminat. Ia merangkumi perubatan, fizikal termasuk aspek teknikal dengan atlet itu sendiri.

"Semua ini seiring dengan langkah yang diambil kelab mereka. Kami perlu tindakan susulan dan menawarkan bimbingan supaya pemain berada dalam keadaan terbaik termasuk dalam perlawanan pemanas badan yang akan kami lalui sebelum Piala Dunia. Ia adalah perkara paling mustahak buat saya."

Brazil akan menentang Serbia dalam perlawanan pembukaan kejohanan itu pada 24 November depan.