Piala Dunia Qatar: Sofyan Amrabat tertarik gaya permainan Atletico Madrid

Shaiful Shamsudin
Disember 15, 2022 01:29 MYT
Sofyan Amrabat melahirkan kekagumannya terhadap gaya permainan Atletico Madrid di bawah kendalian Diego Simeone setelah persembahannya dalam Piala Dunia dilaporkan menarik perhatian kelab Sepanyol itu.
Pemain berusia 26 tahun itu menjadi sebahagian daripada skuad Maghribi yang mencipta kejutan di Qatar apabila pasukan bimbingan Walid Regragui tersebut muncul selaku negara Afrika pertama yang mara ke separuh akhir.
Kejayaan menakjubkan skuad Atlas Lions menyaksikan beberapa skuad mereka menarik minat kelab besar menjelang jendela perpindahan di Eropah bulan depan dengan Atletico dan Barcelona antara yang disebut-sebut sedang memantau kelibat Amrabat.
Walaupun pemain antarabangsa yang telah membuat 44 penampilan itu menjelaskan bahawa dia gembira di Fiorentina, dia mengakui tertarik dengan pendekatan taktikal Simeone bersama Los Rojiblancos.
"Adalah menjadi satu penghormatan yang besar untuk dikaitkan dengan kelab-kelab itu. Ketika ini, saya mewakili Fiorentina. Saya cukup menghormati kelab saya, ia adalah sebuah pasukan yang hebat," katanya kepada Marca.

1 - Morocco are the first African team to qualify for the semi-final of a World Cup tournament - each of the previous three African sides to reach a quarter-final were all eliminated at this stage (Cameroon in 1990, Senegal in 2002 and Ghana in 2010). Magical. pic.twitter.com/7rq8Yrn04L

— OptaJoe (@OptaJoe) December 10, 2022
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
"Saya mempunyai pengurus yang hebat termasuk hubungan yang baik dengan pemilik, Rocco Commisso, yang membawa saya ke Fiorentina, selain Joe Barone (pengurus besar kelab) dan Daniele Prade (pengarah sukan). Saya amat menghormati mereka dan kelab.
"Saya mempunyai pengurus yang hebat di Fiorentina. Saya tidak suka bercakap tentang orang lain. Tetapi ya, apa yang Simeone lakukan dan apa yang telah dia capai, dia telah melatih Atletico Madrid selama bertahun-tahun.
"Saya gemar corak permainan yang diterapkan. Dia telah mencapai banyak kejayaan dan saya sangat menghormatinya. Pemain dalam pasukannya mantap daripada segi fizikal dan agresif. Saya suka bermain dengan cara itu."
Nama Amrabat bukan asing lagi dalam LaLiga memandangkan abangnya, Nordin Amrabat, pernah menyertai Malaga dan Leganes, lantas dia tidak menolak perpindahan ke Sepanyol pada masa depan.
"Saya acap ke Sepanyol dan saya sempat menonton banyak perlawanan di La Rosaleda," tambahnya.
"Terdapat pangkalan peminat yang hebat dan suasana yang hebat. Liga Sepanyol adalah salah satu pertandingan terbaik di dunia.
"Ia meriah seperti Liga Perdana Inggeris. Begitu juga Itali. Mungkin satu hari nanti saya akan bermain di sana. Saya kini berumur 26 tahun, tiada siapa yang tahu apa yang akan berlaku pada masa depan."
#Maghribi #Piala Dunia Qatar #Sofyan Amrabat