Neville Southall menegaskan Jordan Pickford tidak boleh dipersalahkan atas situasi menderita Everton dan percaya dia berhak bertindak sebagai penjaga gol pilihan utama England.

Pickford mengetuai Everton ketika bimbingan pasukan Frank Lampard itu tunduk di tempat lawan buat sekian kalinya semalam, kali ini kepada seteru penyingkiran, Burnley.

Dua sepakan penalti daripada Richarlison meletakkan Everton mendahului 2-1 di Turf Moor menuju rehat sebelum ledakan Jay Rodriguez dan Maxwel Cornet memastikan kemenangan 3-2 buat Burnley, secara tidak langsung mengurangkan defisit mata untuk The Clarets terus menghambat pelawat yang menguasai tangga ke-17 Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan baki sembilan perlawanan.

Pickford boleh dikatakan hampir tidak bersalah atas mana-mana gol yang dilepaskan itu dengan mempamerkan persembahan mantap.

Posisi pemain berusia 28 tahun itu sebagai penjaga gol nombor satu England telah dipersoalkan pada musim ini, sebahagian besarnya disebabkan oleh prestasi ampuh ditonjolkan Aaron Ramsdale bersama Arsenal, tetapi Gareth Southgate tetap memilih Pickford bagi memikul misi penting The Three Lions.





Ditanya mengenai Pickford oleh Sky Sports, pemain legenda Everton itu yang merupakan penjaga gol ketika era gemilang mereka pada 1980-an berkata: "Keyakinan turut memainkan peranan. Jordan Pickford tidak melakukan sebarang kesalahan pada musim ini.

"Malangnya ketika ini, mereka mempunyai Aaron Ramsdale di Arsenal dan secara tradisinya kebanyakan media mahukan seseorang itu beraksi (untuk England) dari kelab London.

"Jadi dia akan sentiasa mengundang perhatian kerana mewakili sebuah kelab di utara. Saya percaya disebabkan itu ada masanya laporan media menjadi berat sebelah dan saya fikir ia merepek.

"Dia seorang penjaga gol yang bagus, bermain untuk England. Adakah dia akan melakukan kesilapan? Sudah tentu begitu kerana dia juga manusia biasa."