Piala Dunia Qatar: Perancis khuatir Denmark ganggu perancangan awal

Shaiful Shamsudin
April 2, 2022 05:12 MYT
Didier Deschamps menekankan bahawa Denmark sebuah pasukan berkualiti apabila memberi amaran undian sukar yang bakal ditempuhi Perancis dalam Piala Dunia 2022.
Juara bertahan itu ditempatkan dalam Kumpulan D dalam majlis undian di Doha tengah malam tadi bersama-sama Denmark, Tunisia dan sama ada Peru, Emiriah Arab Bersatu atau Australia.
Les Bleus turut berdepan Denmark, Peru dan Australia dalam pusingan pertama di Russia empat tahun lalu dan kali ini dijangka mudah melepasi peringkat kumpulan.
Bagaimanapun, Deschamps tetap tidak berpuas hati dengan hasil undian itu kerana menyedari ancaman Denmark khususnya.
Semi finalis Euro 2020 itu berada di kedudukan ke-11 dunia di belakang Mexico dan Belanda.
Apatah lagi pasukan kendalian Kasper Hjulmand tersebut berpeluang menguji persiapan juara dunia kali itu menerusi kempen Liga Negara-Negara Eropah (UNL), Jun depan.
Sekiranya Perancis mengakhiri peringkat kumpulan di tempat kedua, mereka berpotensi berdepan Argentina.
Les Bleus menewaskan pasukan yang diketuai Lionel Messi itu di Russia tetapi Deschamps sudah pasti lebih gemar untuk mengelak pencabar pilihan lebih awalnya.

2 – France have already faced Denmark three times at the World Cup group stage, including the two editions in which Les Bleus have lifted the trophy (2-1 in 1998 and 0-0 in 2018). Sign? #WorldCupDraw #FRADEN pic.twitter.com/Fi7I6pPoli

— OptaJean (@OptaJean) April 1, 2022
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Deschamps berkata kepada beIN SPORTS: "Saya tidak tahu sama ada ini adalah undian yang sempurna.
"Denmark juga akan mempunyai kelebihan untuk mengenali kami dengan lebih baik selepas dua perlawanan UNL musim panas ini. Malah, ia lebih berbeza dalam pusingan akhir Piala Dunia kelak.
"Anda perlu menghormati mereka terutama sekali tidak menganggap ia telah terjamin. Kita bercakap tentang negara ke-11 dunia yang mara ke separuh akhir Kejohanan Euro yang lalu. Mereka mempunyai yang kedudukan lebih tinggi daripada Jerman.
"Saya lebih terarah mengenai kemungkinan berdepan Argentina tetapi perkara yang paling penting ialah mengetahui jadual perlawanan terlebih dahulu. Ia mungkin dilangsungkan jam 1 tengah hari hingga 10 malam. Ia langsung tidak sama dengan kejohanan sebelum ini.
"Kami sudah tahu tarikhnya tetapi kami perlu menunggu untuk mengetahui jadualnya."
#Perancis #Piala Dunia 2022 #Piala Dunia Qatar