Piala Dunia Qatar: Paul Pogba elak dibedah lutut

Shaiful Shamsudin
Ogos 2, 2022 23:48 MYT
Paul Pogba dilaporkan memilih untuk menjalani terapi berbanding pembedahan selepas bertemu dengan pakar bagi membincangkan masalah lututnya, malah mungkin boleh kembali beraksi dalam tempoh lima minggu sahaja.
Selepas meninggalkan Manchester United untuk kembali ke Turin, Pogba mengharapkan permulaan baharu, apabila mengalami kecederaan lutut pada minggu-minggu awal penggal keduanya bersama Juventus.
Pemain tengah Perancis itu mengadu tidak selesa ketika bersama Juve dalam jelajah pra-musim di Amerika Syarikat (AS) dan pemeriksaan awal mendapati bahagian meniskusnya terkoyak.
Timbul kebimbangan pemain berusia 29 tahun itu mungkin terlepas baki kempen tahun ini sekiranya dia memilih untuk menjalani pembedahan.
Bagaimanapun, menurut Gazzetta dello Sport, Pogba telah berunding dengan pakar bedah lutut terkenal dunia, Profesor Bertrand Sonnery-Cottet, di Lyon dan dia bersetuju untuk menjalani terapi, ini bermakna dia boleh kembali ligat dalam masa kira-kira lima minggu.

#PogbackToBack ⚪️⚫️ pic.twitter.com/ROHDIr2BSs

— Paul Pogba (@paulpogba) July 11, 2022
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Pogba merupakan bahagian penting dalam pasukan Perancis yang menjulang Piala Dunia pada 2018 dan berita ini pastinya akan menjadi rangsangan untuknya cergas sepenuhnya bagi membantu Les Bleus mempertahankan trofi di Qatar, hujung tahun ini.
Pogba menghabiskan empat musim di Juve di antara 2012 dan 2016 apabila memenangi empat gelaran Serie A dalam tempoh itu sebelum berpindah ke United dengan yuran tertinggi dunia ketika itu, £89.3 juta (RM484.0j).
Piala Dunia bermula pada 21 November di Qatar dan ketua jurulatih Perancis, Didier Deschamps, menuntut pemain yang telah melakukan 91 penampilan antarabangsa itu supaya membuktikan kecergasannya sebelum kejohanan bermula.
#Paul Pogba #Piala Dunia Qatar