Piala Dunia 2018 dianggap satu peluang terakhir buat skuad kebangsaan Argentina untuk merampas semula kejayaan yang terakhir dikecapi pada 1986.

Diego Maradona merupakan kunci kejayaan mereka sewaktu piala dijulang terdahulu, namun bintang utama mereka pada tahun 2018, Lionel Messi, sudah pun berusia 31 tahun ketika beraksi di bumi Rusia, begitu juga dengan kebanyakan bintang-bintang mereka yang lain.

Masa semakin suntuk, Argentina terdesak untuk membuktikan keupayaan tetapi hasilnya tidaklah seberapa.

Pada peringkat 16 terakhir, mereka bertarung bermati-matian dengan pasukan yang kemudian dinobatkan sebagai juara, Perancis, tetapi ternyata jurang keupayaan di antara kedua-dua pasukan itu teramat besar.

Messi dan rakan-rakan pulang dengan kecewa empat tahun lalu, tetapi di saat ini, perjuangan mereka masih belum tamat.






Pengurus baru skuad Argentina, Lionel Scaloni, mendatangkan nafas dan kepercayaan baru dengan percaturan yang utuh, sehinggakan Argentina mampu menundukkan seteru tradisional, Brazil dalam perlawanan akhir Copa America tahun lalu.

Argentina kini mencatatkan sebanyak 35 perlawanan tanpa kalah, dengan Messi menjaringkan dua gol dalam kemenangan ke atas Jamaica semalam bagi membuktikan dirinya masih belum kehilangan bisa pada usia 35 tahun.

Kerjaya Messi dianggap masih tidak sempurna oleh pihak media seantero dunia selagi Piala Dunia masih belum dijulang -- satu-satunya trofi yang terlepas daripada genggamannya sejak permulaan dia beraksi bersama Barcelona.

Bagi pihak media di negaranya sendiri, kisah Messi tidaklah dramatik seperti Maradona yang terpaksa mengharungi kecederaan buku lali, jangkitan hepatitis dan juga mengatasi ketagihan dadah sebelum akhirnya memimpin pasukan mencapai kejayaan, namun ia tetap satu kisah yang ditagih oleh kesemua pencinta bola sepak negara tersebut.





Biarpun masalah daripada segi taktikal, keharmonian pasukan dan kaliber pengurus dianggap sudah diatasi, cabaran utama Argentina ketika ini adalah kekurangan pesaing-pesaing yang dianggap sama taraf dengan mereka.

Selain Brazil dan Uruguay, pasukan-pasukan kebangsaan lain di rantau Amerika Selatan berada pada tahap yang jauh lebih rendah, maka kemenangan ke atas pasukan-pasukan sebegini tidak dianggap sebagai satu ujian terhadap sejauh manakah kualiti mereka telah berkembang.

Aksi ‘Finalissima’, perlawanan yang menemukan Argentina dengan juara Euro 2020, Itali, menghadirkan peluang yang lama mereka nanti-nantikan untuk berentap dengan pasukan yang sama kuat, dan hasilnya adalah kemenangan 3-0 yang membanggakan.

Namun, tetap tidak dapat dielakkan untuk dibicara bahawa pasukan Itali yang mereka hadapi merupakan skuad yang tidak sama gahnya berbanding skuad yang menjadi juara di Euro 2020 yang lalu, maka persoalan yang sama tetap berulang, sejauh manakah kekuatan Argentina ketika ini sebenarnya?

Mampukah rentetan kemenangan ini diteruskan di bumi Qatar dalam beberapa bulan lagi?

Masihkah ada satu laungan terakhir buat Messi yang telah sekian lama berjuang?

Berdasarkan apa yang kita lihat sejak kebelakangan ini, iaitu berdasarkan kebangkitan Messi bersama pasukannya PSG, serta sokongan utuh daripada kesemua rakan sepasukan dalam skuad Argentina, harapan itu boleh dianggap sebagai sesuatu yang benar-benar mungkin terjadi.