Jurulatih Korea Selatan, Paulo Bento, gembira dengan prestasi pasukannya ketika seri tanpa jaringan dengan Uruguay sambil menggesa penyokong supaya tidak terlalu fokus kepada tahap kecergasan penyerang handalan mereka, Son Heung-min.

Kecergasan penyerang Tottenham itu diragui sebelum sepak mula berikutan kecederaan di soket mata yang dialaminya awal bulan ini -- memerlukannya memakai pelindung muka -- tetapi dia mampu mengharungi permainan penuh tetapi penampilannya kurang berkesan.

Ia mempengaruhi tahap persembahan rakan sepasukannya -- barisan Uruguay yang diketuai Darwin Nunez dan Luis Suarez turut gagal mencipta sebarang impak berkesan dalam pertemuan Kumpulan H itu malam tadi.

Uruguay hampir mencapai kemenangan dengan Diego Godin dan Federico Valverde tetapi percubaan mereka sekadar menerjah tiang pada minit terakhir permainan.


Mengenai Son, Bento berkata: "Son adalah seorang pemain yang sentiasa diturunkan hinggalah kecederaan menghalangnya. Dalam salah satu perlawanan Liga Juara-Juara (UCL), dia mengalami kecederaan serius dan tidak dapat beraksi untuk tempoh yang lama. Dia hanya mula menyertai sesi bersama pasukan dalam beberapa hari lepas.

“Berikutan kecederaan itu, sudah semestinya dia akan memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri.

"Tetapi secara keseluruhannya, saya fikir pasukan kami mempunyai prestasi yang baik dan kami terlalu fokus kepada seorang pemain.

"Kami sebagai jurulatih menghargai kesemua elemen pasukan ini."