Piala Dunia Qatar: Kali ini Brazil lebih mantap daripada skuad 2018 -- Casemiro

Shaiful Shamsudin
November 29, 2022 00:49 MYT
BRAZIL 1 SWITZERLAND 0
Casemiro percaya Brazil berada di kedudukan yang lebih kukuh untuk berjuang dalam Piala Dunia Qatar berbanding edisi di Russia pada 2018.
Pemain tengah Manchester United itu memastikan kemenangan ke atas Switzerland pada minit ke-83, awal pagi tadi, bagi memastikan Brazil menembusi rintangan Kumpulan G.
Sebelum jaringan di Stadium 974 itu dicipta, Brazil -- ketiadaan Neymar akibat tercedera -- buntu untuk merobek gawang lawan dan kelihatan hampir pasti akan mencatat keputusan seri ketiga sepanjang bertemu Switzerland di pentas terbabit-- skuad Samba tidak pernah menundukkan pencabar dari Eropah berkenaan dalam Piala Dunia.
Brazil muncul pasukan pertama dalam sejarah Piala Dunia yang belum tewas dalam 17 perlawanan berturut-turut di peringkat kumpulan sekalipun buat julung kalinya sejak 2010 mereka mengecapi dua kemenangan dalam aksi pembukaan.
Selepas edisi di Russia yang menyaksikan mereka terkandas dalam suku akhir kepada Belgium, kali ini Brazil merupakan pasukan pilihan untuk prestij di Qatar, lantas Casemiro yakin bahawa jaguh Amerika Selatan itu lebih ampuh berbanding temasya lalu.
"Empat tahun telah berlalu, terdapat muka baharu, tahun ini kami mempunyai lebih pilihan daripada segi pemain, kami mempunyai lebih banyak pilihan dan tanpa perlu merombak pasukan pun kami masih mampu mengubah rentak permainan kami," katanya dalam sidang media selepas perlawanan awal pagi tadi.
"Jika kami menggantikan pemain, kami mempunyai lebih banyak pilihan. Tidak dinafikan pilihan kali ini jauh lebih hebat berbanding pada 2018. Bukan sahaja masa telah berlalu malah kami juga sudah matang.

17 - Brazil are now unbeaten in 17 group-stage games at the World Cup, setting a new record (including final and second group rounds in earlier editions). Giant. #BRASUI #FIFAWorldCup pic.twitter.com/pa0IjCpUVF

— OptaFranz (@OptaFranz) November 28, 2022
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
"Kami memiliki barisan pertahanan yang lebih berpengalaman, kami mencatat satu lagi perlawanan tanpa bolos. Ia bukan Alisson, ia bukan pertahanan, ia bermula di bahagian hadapan menerusi Richarlison.
"Julat pilihan pemain kami adalah lebih besar berbanding Piala Dunia lalu."
#Brazil #Piala Dunia Qatar