Fabio Capello mengakui menyimpan keinginan tinggi untuk mengetahui kesudahan nasib England dalam Piala Dunia Qatar, hujung November depan.

Bekas pengurus England itu mempunyai teori tentang skuad The Three Lions yang layak ke temasya di Qatar berkenaan tanpa sebarang kekalahan dalam 10 perlawanan.

“Saya benar-benar berminat untuk melihat siapa yang bakal muncul di tempat teratas Piala Dunia di Qatar,” kata Capello yang kali terakhir mengemudi England 2010 termasuk membantu kelayakan Euro 2012 kepada Goal.

“Sebagai bekas jurulatih England, ketika saya melatih pasukan pada September, Oktober dan November, kami bersedia untuk menghadapi pasukan terbaik di dunia.





"Tetapi ketika Mac dan April, prestasi kami suam-suam kuku sahaja memandangkan tahap fizikal pemain menurun dan kami berdepan kesukaran tinggi pada Jun.

"Saya mahu menguji teori saya bahawa England adalah pasukan yang hebat pada tahun ini, jadi selain mempunyai skuad berbakat -- pemain dan jurulatih terkemuka, bolehkah mereka benar-benar berdaya saing dan memenangi kejohanan besar seperti Piala Dunia?”

Jentera serangan skuad kendalian Southgate tersebut muncul pasukan Eropah paling berbisa apabila meledak 39 gol sepanjang saingan kelayakan itu selain hanya dibolosi tiga kali.