Karim Benzema perlu beraksi cemerlang untuk memacu Perancis dalam Piala Dunia Qatar bagi 'mengesahkan statusnya" sebagai pemenang Ballon d'Or, kata Michel Platini.

Benzema menamatkan musim 2021-22 dengan rekod terbaik kerjayanya menerusi 44 gol, selain 15 bantuan jaringan ketika membantu Real Madrid merangkul kejuaraan berganda, LaLiga dan Liga Juara-Juara (UCL).

Kempen menakjubkan pemain berusia 34 tahun itu sudah cukup untuk mengetepikan pemain seperti Robert Lewandowski dan Sadio Mane untuk memenangi trofi Ballon d'Or pertamanya selepas dicalonkan sebanyak 10 kali sebelum ini.

Begitupun, Platini -- yang memenangi anugerah Ballon d'Or selama tiga tahun berturut-turut di antara 1983 dan 1985 -- percaya kini terdapat lebih banyak tekanan ke atas Benzema untuk mengharungi Piala Dunia bulan depan.

"Dia mencapai kejayaan dengan Ballon d'Or," katanya kepada RMC Sport.

“Dia akan menggalas tanggungjawab besar sebagai pemain terbaik dunia dan Piala Dunia akan datang.




"Dia perlu berada di kemuncak prestasi untuk mengesahkan statusnya."

Benzema kembali ke pangkuan pasukan kebangsaan dalam Euro 2020 selepas enam tahun tersisih apabila menjaringkan empat gol dalam empat penampilan ketika Perancis terkandas di peringkat 16.

Dia berharap dapat membantu Les Blues mempertahankan mahkota Piala Dunia, bermula dengan perlawanan pembukaan kumpulan menentang Australia pada 22 November, tetapi Platini percaya Benzema sedang menitit laluan sebagai ikon bola sepak Perancis.

"Benzema adalah legenda bola sepak Perancis," tambahnya.

"Memenangi Ballon d'Or membawa anda ke dalam barisan pemain bola sepak yang hebat."