Belanda mengetepikan kritikan terhadap corak permainan mereka oleh penyokong sendiri selepas menundukkan Amerika Syarikat (AS) 3-1 untuk mara ke suku akhir Piala Dunia di Qatar.

Skuad Oranje menerima kritikan peminat dan media sendiri berikutan jenama bola sepak sementara Louis van Gaal lebih rela mengorbankan pendekatan klasik 'Total Football' dan formasi 4-3-3.

Van Gaal sebaliknya lebih gemar menurunkan tiga pertahanan tengah dalam usaha mengukuhkan benteng mereka sebelum mengintai serangan balas.

Sistem permainan itu cukup berkesan ketika mereka menghukum AS di Stadium Antarabangsa Khalifa, awal pagi tadi, yang menyaksikan Belanda perlu menyerap tekanan sebelum memerangkap anak buah Gregg Berhalter tersebut selepas rehat.

Belanda mendahului 2-0 dalam babak pertama dan walaupun mereka menghadapi tekanan dalam separuh masa kedua sebaik AS mengurangkan defisit gol, Denzel Dumfries -– yang menjadi arkitek kepada dua gol awal -– menyempurnakan persembahan mantapnya dengan penyudah deras.

Tatkala peminat dan media mungkin masih tercari-cari alasan untuk mengkritik anak buah Van Gaal, tetapi bagi Dumfries prestasi mereka telah membuktikan sistem itu berhasil

"Wujud banyak kritikan kerana kami sudah biasa dengan gaya permainan tertentu, kami bagus dalam penguasaan bola," katanya.

“Biasanya kami bermain 4-3-3 tetapi ketika ini kami bermain sistem yang berbeza.



"Tetapi jaringan hari ini adalah segala-galanya. Saya mencipta gerakan gol kepada rakan di bahagian pertahanan, Daley Blind, dan dia juga begitu. Jadi hari ini kami menunjukkan kualiti sistem permainan kami.

"Di Belanda, kami sudah biasa menguasai bola, bermain dengan penguasaan bola. Ini adalah cara berbeza dan saya juga memahami kritikannya kerana kami mampu beraksi lebih baik menerusi penguasaan bola dan mencipta lebih banyak peluang.




"Tetapi apabila kami mendapat bola, kami mempunyai kualiti di bahagian serangan balas. Kami ada penyerang yang sangat pantas dan ia juga merupakan kekuatan kami.

"Kami perlu terus fokus untuk menjadikan sistem permainan ini dapat berfungsi dengan sempurna."