Pembantu jurulatih Chelsea, Zsolt Low, yakin pasukannya mampu mengatasi masalah tanpa kehadiran Thomas Tuchel untuk perlawanan separuh akhir Piala Dunia Kelab menentang Al Hilal, tengah malam ini.

Tuchel terlepas kemenangan pusingan keempat Piala FA menentang Plymouth Argyle, hujung minggu lalu, selepas disahkan positif COVID-19 dan gagal turut serta kunjungan ke Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), itu.

Pengurus dari Jerman itu sudah pasti akan terlepas pertembungan dengan juara Asia, Al Hilal, tetapi dia masih berpotensi untuk mengemudi perlawanan akhir menentang Palmeiras, Ahad ini.

Low dan Arno Michels yang akan memainkan peranan bekas itu buat sementara waktu menegaskan persiapan The Blues tidak begitu terbeban memandangkan Tuchel masih mampu menyalurkan maklumatnya dari London.

"Kami sentiasa berhubung dengan Thomas.

"Sepanjang masa kami menggunakan panggilan video," kata Low dalam sidang akhbar pra-perlawanan malam tadi.

"Kami kerap bertukar pendapat sepanjang hari. Kami mengadakan perbualan yang baik untuk membuatkan kelibatnya seperti bersama kami di sini.

"Petr Cech menawarkan sokongan kepada kami dengan baik sepanjang ketiadaan Thomas di sini. Kami mempunyai kakitangan perubatan dan pengurusan pasukan yang bagus. Kami mempunyai banyak sokongan. Dan banyak panggilan video dengan Thomas.

"Dia akan menyokong kami dengan sebaik mungkin dan memberikan arahan dalam mesyuarat setiap hari. Pada hari-hari berikutnya ada kemungkinan dia akan bercakap dengan pasukan."






Walaupun terdapat perselisihan zon waktu selama empat jam di antara London dan UAE, Low mendedahkan Tuchel sentiasa bersedia sepanjang hari.

"Tidak perlu untuknya menukar zon waktu. Kami menetapkan panggilan penggera untuk adakan mesyuarat," katanya.

“Jika kami memerlukannya pada pukul 6 pagi, maka kami akan menghubungi pada pukul 6 pagi."