Leon Goretzka dan Javi Martinez tiada dalam skuad Bayern Munich yang berlepas ke saingan Piala Dunia Kelab awal pagi tadi.

Bayern menaiki pesawat ke Qatar selepas menewaskan Hertha Berlin 1-0 hasil percubaan terbias Kingsley Coman dalam babak pertama.

Skuad kendalian Hansi Flick itu tidak dibolosi sepanjang permainan hasil siri aksi menyelamat gemilang Manuel Neuer tetapi kelihatan amat rapuh ketika berdepan serangan balas dengan Joshua Kimmich berseorangan mengemudi bahagian tengah dalam perlawanan di Olympiastadion itu.

Goretzka dan Martinez tidak terlibat dengan perlawanan itu susulan positif ujian koronavirus dan tidak akan bersama rakan sepasukannya ke Doha.

"Kami perlu melihat dari hari ke hari tentang bagaimana keadaan mereka," kata Flick.

"Leon kelihatan semakin baik, Javi hampir pasti tidak dapat melakukannya. Jika bukan dalam perlawanan pertama, mungkin dalam perlawanan kedua."

Bayern akan berdepan Al Ahly pada Isnin ini dan akan akan turun beraksi dalam pertemuan akhir atau penentuan tempat ketiga menentang sama ada palmeiras atau Tigres UANL tiga hari kemudian.

Juara Eropah itu meninggalkan Jerman selepas bekelebihan 10 mata di puncak Bundesliga.