Piala Dunia Kelab: Gignac bawa Tigres ke final

Shaiful Shamsudin
Februari 8, 2021 01:25 MYT
Andre-Pierre Gignac membawa Tigres ke perlawanan akhir Piala Dunia Kelab selepas sepakan penaltinya memastikan kemenangan 1-0 ke atas jaguh Amerika Selatan, Palmeiras.
Bekas penyerang Marseille berusia 35 tahun itu mempamerkan aksi mengagumkan dalam pertembungan yang mendebarkan berkenaan, dan usaha kerasnya membuahkan hasil pada minit ke-54 untuk gergasi Mexico terbabit mengesahkan tiket kemaraan.
Ini bererti pemenang Liga Juara-Juara zon CONCACAF itu akan mementang sama ada Al Ahly atau Bayern Munich dalam final di Qatar awal pagi Jumaat ini.
Tigres lebih mendominasi dalam separuh masa pertama di Education City Stadium, Al Rayyan, itu namun juara Copa Libertadores berkenaan mampu meneruskan saingan menerusi tiga tindakan menyelamat daripada penjaga gol, Weverton.
Pemain antarabangsa Brazil itu dikerah untuk menepis tandukan penyerang Uruguay, Carlos Gonzalez, ketika perlawanan baru berusia lima minit.
Weverton kemudian bertindak cemerlang dengan mematahkan dua serangan Gignac dalam tempoh empat minit.

¡SÍIIIIIIIIII! Somos FINALISTAS en el Mundial de Clubes y seguimos haciendo HISTORIA! ¡ESTO ES TIGRES, CARAJO! ??#TigresEnQatar ?? #HoyLaUEsMundial ? pic.twitter.com/dWK4205mCI

— Club Tigres Oficial ? (@TigresOficial) February 7, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Bagaimanapun, tindakan Gonzalez yang menarik baju Luan mmebawa padah apabila pengadil menghadiahkan sepakan penalti yang menyaksikan Gignac melepaskan rembatannya ke sudut kiri bawah pintu gol.
Palmeiras berhasil mendapatkan jaringan penyamaan tetapi sekurang-kurangnya lima pemain dikesan ofsaid dalam sepakan percuma itu.
Luis Rodriguez pula hampir menambah kelebihan Tigres tetapi tindakan akhirnya gopoh ketika menyambut hantaran silang rendah penghujung perlawanan.
Dalam masa sama, juara Liga Qatar, Al Duhail, meraih tempat kelima selepas mengalahkan pasukan Korea Selatan, Ulsan Hyundai, 3-1 dalam aksi play-off di Stadium Ahmad Bin Ali.
Edmilson Junior memimpin Al Duhail pada minit ke-21 sebelum Yoon Bit-garam menyamakan kedudukan pada minit ke-62.
Mohammed Muntari mengembalikan keunggulan Al Duhail empat minit kemudian dengan tendangan voli, lapan minit menuju waktu kecederaan.
Sementara itu, gergasi Bundesliga, Bayern, perlu melepasi ranjau Al-Ahly awal pagi ini untuk mengintai slot final.
#Bayern Munich #Piala Dunia Kelab #Andre-Pierre Gignac #Tigres