Jerome Boateng meninggalkan skuad Bayern Munich yang akan menghadapi perlawanan akhir Piala Dunia Kelab di Qatar, awal pagi esok, demi kembali ke Jerman berikutan kematian bekas kekasihnya.

Kasia Lenhardt, 25, ditemui mati di apartmennya di Berlin semalam. Kematiannya bagaimanapun tidak dianggap mencurigakan oleh pihak berkuasa.

Lenhardt dan Boateng berpisah minggu lalu sebelum pemain itu memadam posting keretakkan hubungan mereka di media sosial.

Pengurus Bayern, Hansi Flick, mengesahkan Boateng telah meminta untuk meninggalkan skuad itu atas alasan peribadi menjelang final Piala Dunia Kelab menentang kelab Mexico, Tigres, dan tempoh kehilangannya belum dapat dipastikan lagi.

Flick memberitahu sidang media: "Ia mengejutkan kami.

"Jerome datang kepada saya dan meminta saya untuk pulang ke rumah. Sebaik selesai ujian (COVID-19), dia akan pulang dan tidak akan diturunkan sehingga diberitahu kelak."

Boateng tampil dalam kemenangan separuh akhir 2-0 ke atas wakil Mesir, Al Ahly, Isnin lalu dan dijangka menjadi pilihan untuk memperkasa benteng ketika menghadapi Tigres.

Pengalaman dan kehebatan fizikalnya akan menjadi kunci untuk merantai penyerang Tigres, Andre-Pierre Gignac, yang menemui sentuhan penyudah dalam enam perlawanan terakhirnya.

Flick enggan memberikan petunjuk mengenai pilihannya namun menggesa Bayern agar mengambil inisiatif.



"Terserah kepada kami sendiri untuk memberi tekanan kepada lawan dan mempamerkan permainan sebenar pada saat kami menguasai bola," tambahnya.

"Kami melakukannya dengan baik dalam separuh akhir. Saya mempunyai kepercayaan penuh terhadap pasukan saya.

"Kami harus waspada. Tigres sangat pantas dalam serangan balas. Mereka cukup berbahaya di bahagian sayap dan mempunyai pemain di tengah yang mampu meledakkan gol.

"Kami harus tampil garang sejak awal permainan dan mengambil peluang yang ada."

Rakan sejawatanya di kem TIgers, Ricardo Ferretti, pula menganggap ramai memilih untuk memandang rendah keupayaan mereka hanya kerana mereka bukan pasukan Eropah.

Dia berkata: "Anda menyebut Bayern dari Eropah dan pencapaian mereka tidak boleh disangkal lagi, tetapi mengapa orang hanya mahu melihat sesuatu di sebelah pihak sahaja?

"Dalam masa 10 tahun ini, kami telah memenangi 11 gelaran. Sekiranya anda ingin meramalkannya perlawanan ini memandang mereka adalah wakil Eropah dan kami adalah Amerika Utara, itu seakan-akan meremehkan kami.

"Kami sedar kemampuan Bayern tetapi seperti yang selalu saya katakan, kami tidak gentar dengan sesiapa pun. Kami akan berusaha memperagakan permainan kami dengan baik, untuk menjadi juara."