Ketua pasukan Al Hilal, Mohammad Al Shalhoub, bertekad memastikan kempen sulung mereka dalam Piala Dunia Kelab dapat dilanjutkan ke separuh akhir menjelang pertembungan dengan ES Tunis.

Juara Asia dan Afrika itu akan berhitung dalam aksi suku akhir di Stadium Jassim Bin Hamad malam ini bagi menempah pertemuan dengan juara Copa Libertadores, Flamengo, di peringkat seterusnya minggu depan.

Al Hilal muncul juara benua Asia buat kali pertama sejak 2000 apabila mengalahkan Urawa Red Diamonds 3-0 secara agregat dalam final Liga Juara-Juara AFC (ACL) bagi menebus kekalahan 1-2 kepada lawan yang sama dua tahun lalu.

Kelab Arab Saudi berkenaan mendapat sentuhan bekas pemain Juventus dan Toronto FC, Sebastian Giovinco; bekas penyerang Lyon, Bafetimbi Gomis, dan pemain antarabangsa Peru, Andre Carrillo, justeru berharap gandingan itu akan membantu Al Hilal mengatasi gemuruh dalam penampilan pertama di peringkat kelab dunia.

Al Shalhoub juga mahu mempamerkan kualiti bola sepak Arab yang sedang meningkat apabila akan menghadapi kelab Tunisia berkenaan yang sering layak itu.

"Kami sangat gembira untuk berada di sini, kami menganggap tempat ini adalah semula jadi bagi kami," katanya kepada pemberita.

"Kami berharap kami dapat mencerminkan perkembangan bola sepak Arab dan untuk melepasi peringkat pertama, ia sangat penting bagi kami.

"Saya sentiasa mengikuti perkembangan kelab-kelab Tunisia dan saya tahu mereka adalah pasukan yang sangat mantap. Kami tahu banyak perkara tentang kelab dan pemain Tunisia, yang memiliki keupayaan tinggi.

"Kami tahu perlawanan seterusnya akan menjadi 'derby' yang indah yang mencerminkan perkembangan bola sepak."

Jurulatih Al Sadd, Xavi, pula cuba mengurangkan tekanan yang dihadapi pasukannya menjelang pertemuan dengan Monterrey awal pagi esok.

Pasukannya itu mengatasi Hienghene Sport dari New Caledonia yang menyaksikan pemenang Liga Juara-Juara OFC itu mengheret permainan ke masa tambahan setelah seri 1-1.

Tuan rumah, Al Sadd, terbukti terlalu ampuh buat Hienghene apabila melakar kemenangan 3-1 selepas tambahan masa selama 30 minit, namun persembahan itu menyerlahkan lagi kepincangan kelab Qatar berkenaan.

Xavi tidak sangsi tahap kelab Mexico yang bersejarah itu lebih tinggi daripada Al Sadd.

"Saya akan memberitahu pemain saya bahawa kami tidak akan rugi apa-apa apabila menghadapi pasukan yang sukar," katanya.

"Kami dilihat sebagai pihak yang akan kalah dan kami perlu mengambil kesempatan itu.

"Tekanannya terletak ke atas Monterrey, nama mereka lebih besar dan mempunyai pemain di tahap yang lebih tinggi daripada kami," kata bekas bintang Barcelona itu.