Bayern Munich akan berdepan Al Ahly dalam separuh akhir Piala Dunia Kelab setelah juara Afrika itu menundukkan tuan rumah merangkap pasukan pilihan, Al Duhail, malam tadi.

Pertembungan di Stadium Education City di Al Rayyan itu dipisahkan menerusi sepakan penalti daripada Hussein El Shahat pada minit ke-30.

Pemain sayap melepaskan rembatan rendah ke sudut kiri pintu gol lawan bagi menghukum kekasaran pertahanan, Bassam Hisham.

Walter Bwalya, yang mendorong pertahanan itu untuk melakukan kesilapan, sempat menyempurnakan penyudahnya namun gol berkenaan dibatalkan kerana ofsaid hasil tinjauan video bantuan pengadil (VAR).

Juara Qatar itu memperkemaskan permainan sebaik perlawanan bersambung, pasukan kendalian Pitso Mosimane pula sebaliknya agak selesa untuk mempertahankan kelebihan 1-0 berkenaan.

Sehubungan itu, Al Ahly akan bertemu Bayern pada awal pagi Selasa depan sambil juara Eropah tersebut mengintai kejuaraan kedua trofi berkenaan.



Satu lagi pertembungan separuh akhir menyaksikan juara Copa Libertadores, Palmeiras, akan berdepan Tigres, yang mengalahkan Ulsan Hyundai 2-1 dalam pusingan terdahulu.

Pasukan K League 1 itu, yang memenangi Liga Juara-Juara Asia (ACL) kedua pada 2020, mendahului menerusi tandukan Kim Kee-hee pada minit ke-24.

Namun, bekas penyerang Perancis, Andre-Pierre Gignac, menyamakan kedudukan dari jarak dekat dan pencetak gol terbanyak Tigres itu melebarkan kedudukan 2-1 hasil sepakan penalti sebelum separuh masa pertama berakhir.

Juara CONCACAF itu bakal berhitung dengan Palmeiras pada Isnin.