Gianni Infantino memberi bayangan bahawa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bersedia untuk kembali mempertimbangkan cadangan untuk Piala Dunia diadakan secara dwitahunan sambil mengatakan bahawa penganjuran kejohanan paling berprestij itu di sebuah negara sahaja sudah lapuk.

FIFA yang diketuai oleh Ketua Perkembangan Bola Sepak Global, Arsene Wenger, sedang rancak mempromosikan idea untuk mengubah format Piala Dunia apabila mencadangkan kejohanan itu berlangsung setiap dua tahun.

Cadangan bekas pengurus Arsenal itu bakal menyaksikan penganjur kejohanan besar seperti Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) dan Konfederasi Bola Sepak Amerika Syarikat (CONMEBOL) dengan lantang menentang rancangan tersebut selain menyatakan kebimbangan mereka mengenai pertindihan jadual kelak.

Bercakap selepas mesyuarat jawatankuasa FIFA, Infantino akan mengadakan pertemuan dengan badan-badan pentadbir bola sepak pada 20 Disember depan bagi tujuan membahaskan kemungkinan sekali lagi merombak kalendar bola sepak.

Namun, Infantino enggan menyatakan komitmennya atas salah satu usul itu dengan menyarankan rancangan berkenaan juga harus menguntungkan semua pihak yang berkepentingan.

"Kami harus melihat bagaimana kami dapat mengumpul pendapat daripada pelbagai pihak," katanya kepada wartawan.

"Kami perlu merujuk kepada prestasi sukan dan ekonomi, jadi barulah kami boleh melanjutkan perbincangan mengenai Piala Dunia dan kejohanan lain.

"Saya tidak tahu apa hasilnya kelak. Kami akan meneruskan objektif untuk mencapai kata sepakat menerusi satu jalan penyelesaian yang boleh berfungsi demi kepentingan semua.

"Dalam sidang kemuncak global akhir tahun ini, kami berpeluang untuk mengusulkan rancangan ini dan menerima maklum balas daripada semua anggota persatuan di bawah FIFA."




Piala Dunia 2026 akan dianjurkan oleh Mexico, Kanada dan Amerika Syarikat, lantas Infantino menyuarakan rasa puas kerana kesepakatan itu mencerminkan sebuah benua mampu menjayakannya secara bersama berbanding sebuah negara ketika ini.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan Amerika Selatan bakal terpilih sebagai tuan rumah edisi 2030, Infantino menjawab: "Piala Dunia adalah satu kejohanan terbesar, acara terbesar di dunia dan beberapa negara ingin menganjurkannya.

"Saya sendiri sebagai presiden FIFA amat teruja mendengar semua benua berminat menjadi tuan rumah Piala Dunia, terdapat minat yang tinggi terhadap bola sepak di Amerika Selatan. Semua orang ingin melihat Piala Dunia baru di Amerika Selatan.

"Anda menyebut Brazil dan saya fikir Piala Dunia yang diadakan di sebuah negara sahaja mungkin merupakan perkara yang sudah ketinggalan zaman.

"Saya rasa kelak mungkin kita akan selalu dapat melihat Piala Dunia diadakan oleh dua atau tiga negara yang berbeza. Sekiranya kami melakukannya, setiap wilayah di dunia bukan sahaja mampu memasang impian, malah merancang untuk menganjurkan Piala Dunia."