Norway dan penyerangnya, Erling Haaland, memecahkan rekod Piala Dunia B-20 selepas menewaskan Honduras 12-0 di Lublin, awal pagi tadi.

Rekod sembilan jaringan Haaland yang dilakukan dalam perlawanan itu merupakan yang terbanyak pernah dihasilkan dalam pusingan akhir kejohanan B-20 manakala jurang kemenangan itu merupakan yang terbesar sepanjang sejarah kejohanan berkenaan.

Pamain berusia 18 tahun itu -- anak kepada bekas pemain kebangsaan Norway, Leeds United dan Manchester City, Alfe-Inge Haaland -- bermain untuk pasukan Salzburg selepas menyertai juara Liga Austria itu daripada Molde, tahun ini.

Haaland menjaringkan gol pertama pada minit ketujuh sebelum menambah empat lagi sebelum menuju ke bilik persalinan ketika Norway 'mengamuk' dalam perlawanan di Poland itu.

Sebelum ini, rekod tersebut dipegang oleh Adailton yang menjaringkan enam gol ketika Brazil menewaskan Korea Selatan 10-3 pada 1997.

Honduras, yang dua pemainnya dibuang padang, sudah terkeluar daripada saingan dan walaupun Norway meraih kemenangan besar, mereka masih belum pasti dapat meloloskan diri daripada peringkat kumpulan.