Bekas penyerang berbisa Argentina, Hernan Crespo, percaya negara gergasi bola sepak itu mampu bangkit semula untuk menjulang Piala Dunia pada edisi ke-21 di Russia, bermula 14 Jun ini.

Pemain berusia 42 tahun itu, yang beraksi dalam tiga Piala Dunia sejak 1998, yakin jurulatih baharu, Jorge Sampaoli, mampu membentuk kombinasi terbaik antara pemain untuk muncul sebagai pencabar utama Piala Dunia 2018 selepas dimalukan 6-1 oleh Sepanyol dalam perlawanan persahabatan, Rabu lalu.

Dalam perlawanan itu, Argentina tidak menurunkan pemain terbaik dunia, Lionel Messi, kerana dihimpit masalah kecederaan.

"Skuad Argentina dalam proses membina keserasian antara pemain kerana jurulatih baru sahaja membimbing pasukan dalam 10 perlawanan sebelum menentang Sepanyol. Oleh itu, masih sukar untuk melihat identiti yang sinonim dengan pasukan kami.

"Saya mahu melihat skuad negara saya sebagai satu pasukan.. Kini kami mempunyai pemain individualistik. Tetapi pada masa sama, saya tidak bimbang kerana kami sedang dalam proses membentuk pasukan yang mantap,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Kempen Piala Dunia Russia 2018 oleh Astro di ibu negara, semalam.

Crespo percaya selain perancang pasukan, Messi, negara Amerika Selatan itu mempunyai ramai pemain berbakat untuk meningkatkan skuad negara selepas gagal meraih kejuaraan walaupun mara ke final dalam tiga kejohanan utama dalam beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk Piala Dunia 2014 di Brazil.

Dia mengakui bahawa juara bertahan, Jerman, Sepanyol dan Perancis merupakan pasukan pilihan dalam Piala Dunia kali ini di samping Belgium yang mampu melakukan kejutan besar.

"Saya juga ingin melihat bagaimana Iceland dan Panama melakukan penampilan sulung serta menarik untuk melihat aksi pasukan Amerika Latin seperti Mexico dan Peru,” kata bekas penyerang kelab Inter Milan, AC Milan dan Chelsea itu.

Sementara itu, bekas penyerang Perancis, Louis Saha, yakin negaranya mampu menjulang Piala Dunia di Russia selepas 20 tahun ketika menjadi tuan rumah pada edisi 1998.

"Walaupun telah membuktikan sebagai pasukan kuat dan lebih baik, namun masih ada kekurangan daripada segi konsisten dan kekuatan mental.

"Kami mungkin tidak mempunyai bintang dunia seperi Messi atau Cristiano Ronaldo tapi pasti mempunyai pasukan yang hebat,” kata bekas penyerang Manchester United itu.

Sementara itu, Ketua Unit Sukan Astro, Lee Choong Khay, mengesahkan bahawa kesemua 64 perlawanan Piala Dunia akan disiarkan secara langsung menerusi siaran televisyen Astro dan telefon bimbit.

Pelanggan Astro boleh menyaksikan Piala Dunia menerusi pakej sukan SuperPack dan SuperPack Plus manakala mereka yang tidak melanggan pakej sukan boleh menontonnya dalam Astro Go dengan membeli pas berharga RM100 dan RM120 bagi pelanggan prabayar Njoi.

Pas itu boleh dibeli menerusi laman sesawang www.astro.com.my/wc2018.

-- BERNAMA