Piala Dunia 2022: Hierro kagum kemajuan Qatar

Penulis Jemputan
Mei 17, 2019 04:59 MYT
"Qatar mempunyai keistimewaan tersendiri "
Bekas bintang bola sepak Sepanyol, Fernando Hierro, percaya terhadap kemampuan negara itu untuk menjadikan penganjuran Piala Dunia 2022 antara edisi terbaik dalam sejarah.
Piala Dunia kembali ke benua Asia menerusi penganjuran Qatar 2022 selepas Jepun dan Korea Selatan muncul selaku tuan rumah bersama pada 2002.
Menariknya, ia kali pertama bakal dianjurkan di Timur Tengah dan Qatar muncul negara paling kecil daripada segi geografi untuk menjadi tuan rumah kepada kejohanan teragung itu.
Bagi Hierro, pengalaman beraksi di Qatar di samping Al Rayyan pada musim 2003 dan 2004 sudah cukup menyakinkannya terhadap kemampuan negara kaya minyak itu sebagai tuan rumah kejohanan.
"Saya mempunyai pengalaman menarik di Qatar apabila pernah memenangi trofi di sini.
"Ia satu pengalaman menarik, inikan pula Piala Dunia.
"Ini adalah sebuah stadium yang cantik," katanya.
Terdahulu, media daripada beberapa negara diberi peluang bertemu pemain dan bekas pemain ternama dunia di stadium baru itu, semalam.
Selain Hierro, turut kelihatan ialah Samuel Eto'o, Pablo Zabaleta, Tim Cahill, Roberto Carlos dan legenda Belanda, Ruud Gullit.