Dengan hanya kurang 74 hari lagi, demam Piala Dunia Russia 2018 kian terasa dan untuk sekian kalinya, Astro akan meneruskan legasi membawakan liputan siaran langsung kesemua 64 perlawanan disamping menawarkan beberapa keistimewaan kepada peminat bolasepak tempatan.

"Peluang dapat bermain dalam kalangan pemain terbaik, anda menggalas tanggungjawab yang amat besar.

"Sebagai pemain profesional, anda pasti akan terus bekerja keras," kata bekas penyerang Perancis, Louis Saha, yang diundang khas dalam majlis pelancaran program Astro sempena temasya Piala Dunia.

Antara kelainan yang dibawakan Astro untuk edisi kali ini, selain pertandingan dan hadiah istimewa, turut ditampilkan pengenalan aplikasi realiti maya (VR) yang memberi peluang kepada peminat untuk merasai suasana sebenar menonton Piala Dunia di Russia dengan tambahan teknologi sisi kamera pelbagai sudut.

"Buat julung kalinya, kami akan menyediakan aplikasi VR.

"Bagi mereka yang melanggan saluran Piala Dunia, mereka akan dapat menikmati perlawanan secara VR ini seperti berada dalam stadium.

"Kalau anda tidak dapat ke Russia, maka dapatkan aplikasi Piala Dunia," kata Ketua Bahagian Sukan Astro, Lee Choong Kay.

Astro juga akan membawakan keseluruhan 64 perlawanan secara siaran langsung dalam bentuk definisi tinggi (hd), yang boleh ditonton menerusi semua platform media yang ditawarkan seperti di saluran televisyen pek sukan Astro dan juga Astro On The Go.

Selain itu, saluran Astro Arena juga turut akan menyiarkan beberapa perlawanan pilihan.

Bagi memberikan liputan lebih menyeluruh, Astro juga turut membawakan bersama bekas bintang bola sepak dunia seperti Sol Campbell, Gilberto Silva, Djibril Cisse sebagai penganalisis untuk setiap perlawanan siaran langsung.

"Ia menakjubkan, ia merupakan impian saya.

"Ini sesuatu yang sukar untuk dijelaskan. Dapat mempertahankan negara anda, ia sesuatu yang hebat," kata bekas penyerang Argentina, Hernan Crespo.