Wolfsburg disingkirkan daripada Piala DFB-Pokal kerana membuat terlalu banyak pertukaran pemain dalam kemenangan pusingan pertama ke atas Preussen Munster.

Mahkamah Sukan Persatuan Bolasepak Jerman (DFB) mengumumkan keputusan mereka itu malam tadi apabila menghadiahkan kemenangan 2-0 kepada Munster ke atas Wolfsburg.

Pasukan divisyen keempat itu mengemukakan aduan awal mereka sehari selepas kekalahan 1-3 kepada wakil Bundesliga berkenaan pada 8 Ogos dengan menyatakan Mark van Bommel telah memasukkan enam pemain gantian, bukannya lima seperti yang diperuntukkan.

Pengurus itu bertindak menggantikan Admir Mehmedi untuk Maximilian Phillip pada masa tambahan, dengan pegawai perlawanan dan kem Wolfsburg sendiri tanpa menyedari bahawa mereka sudah membuat lima pertukaran.



Wakil ketua, Stephan Oberholz, ketika mengumumkan keputusan mahkamah sukan itu berkata: "Kelab-kelab bertanggungjawab ke atas pertukaran pemain. Salah satu kewajiban asas mereka adalah mendapatkan maklumat mengenai pilihan penggantian dan bertindak sesuai.

"VfL Wolfsburg memiliki kewajiban mematuhi arahan ini dan dengan cuai melanggar kesalahan utama berhubung pertukaran pemain keenam.

"Kelab tidak boleh mengundang kecuaian yang boleh membebankan barisan pengadil. Bagaimanapun, sama ada pegawai keempat telah menasihati mereka yang bertanggungjawab di kelab itu secara tidak betul atau memberikan maklumat yang tidak tepat dalam proses berkenaan tidak terjawab.

"Walaupun seseorang menuding jari kepada kesilapan maklumat itu, kesalahan awal terletak kepada kelab agar pengadil langsung dilepaskan sepenuhnya daripada tanggungjawab."

Pengarah Urusan Sukan Wolfsburg, Jorg Schmadtke, kemudian berseloroh bahawa mereka yang terlibat akan didaftarkan dalam "kursus asas membaca", namun juara DFB-Pokal 2015 itu berharap mengemukakan rayuan.